KUALA LUMPUR 17 Ogos - Untung bersih Kuala Lumpur Kepong Bhd. (KLK) susut 28.8% kepada RM588.27 juta bagi suku ketiga berakhir 30 Jun 2022 berbanding RM783.94 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun kewangan sebelumnya.
Pendapatan bagi tempoh itu bagaimanapun meningkat 34.6% kepada RM6.96 bilion berbanding RM5.17 bilion, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Segmen perladangan kumpulan merekodkan keuntungan yang ketara pada tempoh itu sebanyak RM594.3 juta berbanding RM402.9 juta bagi tempoh sama 2021 dipacu harga minyak sawit mentah dan harga jualan
isirung sawit yang lebih tinggi.
Pada suku berkenaan ia menyaksikan harga minyak sawit mentah direalisasikan mencecah RM4,857 satu tan metrik manakala isirung sawit mencecah RM3,364 satu tan metrik berbanding RM3,444 dan RM2,387 bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Namun, keuntungan segmen itu telah diimbangi sebahagiannya oleh kos pengeluaran minyak sawit mentah yang lebih tinggi dan kerugian nilai saksama sebanyak RM56.4 juta (berbanding kerugian RM3.5 juta pada suku ketiga FY21) berikutan penilaian buah tandan segar yang belum dituai.
Sementara itu, keuntungan segmen pembuatan kumpulan susut 11.9% kepada RM208.9 juta manakala segmen pembangunan hartanah meningkat kepada RM17.5 juta.
Segmen pelaburan pegangan pula mencatat kerugian lebih tinggi sebanyak RM54.4 juta pada suku berkenaan berbanding RM24.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya terutamanya disebabkan perbelanjaan faedah yang lebih tinggi ekoran peningkatan pinjaman.
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 Jun 2022, untung bersih KLK meningkat kepada RM1.7 bilion berbanding RM1.63 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan meningkat kepada RM20.17 bilion daripada RM13.98 bilion.
Menurut KLK, harga minyak sawit mentah baru-baru ini jatuh daripada paras tertinggi dalam sejarah, dicetuskan oleh kebimbangan kemelesetan global dan simpanan stok yang tertunggak di Indonesia.
Bagaimanapun, katanya, bekalan minyak sayuran di seluruh dunia masih terhad dan dijangka menyokong pada paras semasa.
"Selain daripada harga komoditi yang semakin lemah, persekitaran operasi bagi sektor perladangan pada suku berikutnya dijangka mencabar dengan gangguan rantaian bekalan dan tekanan inflasi ke atas baja, agrokimia dan harga bahan api.
"Oleh itu, kumpulan telah mengambil langkah untuk mengurangkan risiko ini dengan meneruskan usaha meningkatkan produktiviti secara agresif dan menambahbaik program mekanisasi.
"Keuntungan segmen ini dijangka semakin baik bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2022 (FY22) dipacu harga minyak sawit mentah dan isirung sawit yang lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya," katanya.
Bagi segmen pembuatan, kumpulan menjangkakan ketidaktentuan harga bahan mentah, kos tenaga yang tinggi dan isu logistik yang berterusan akan memberi cabaran bagi baki tahun kewangan semasa.
Namun, KLK menjangkakan prestasi segmen itu adalah memuaskan, disokong oleh keupayaannya untuk secara konsisten menyampaikan bahan-bahan berkualiti tinggi dan dihasilkan secara mampan terutama dalam
persekitaran bekalan yang ketat.
"Secara keseluruhan, kumpulan menjangkakan untuk mempamerkan prestasi keputusan yang menggalakkan bagi FY22," katanya. - DagangNews.com