Kumpulan CIMB, Juwai IQI jalin kerjasama | DagangNews Skip to main content

Kumpulan CIMB, Juwai IQI jalin kerjasama

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Okt. -   CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad mengumumkan kerjasama dengan Juwai IQI untuk memberikan pembiayaan hartanah kepada pelanggan Juwai IQI di Malaysia. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff berkata, kerjasama itu turut membolehkan akses langsung ke rangkaian penyelesaian pelaburan dan faedah eksklusif CIMB, yang menyediakan pusat sehenti untuk pelbagai keperluan kewangan.

 

"CIMB teruja untuk menjadi rakan kongsi kepada Juwai IQI. Kami berbangga menjadi bank pertama di Malaysia yang menawarkan penyelesaian patuh Syariah dan lestari kepada pelanggan Juwai IQI, termasuk pembiayaan, takaful, deposit, pelaburan dan perkhidmatan perbankan lain," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tambah Ahmad Shariman, berdasarkan data permohonan pinjaman bulanan Bank Negara Malaysia, nilai permohonan pinjaman rumah meningkat 86% tahun ke tahun kepada RM179.4 bilion pada separuh pertama berakhir 30 Jun 2021 daripada RM96.4 bilion pada separuh pertama berakhir 30 Jun 2020.

 


"Dengan Kadar Dasar Semalaman pada tahap terendah 1.75%, pengguna memanfaatkan kadar gadai janji serta melihat kelas aset lain untuk menghasilkan hasil yang lebih tinggi.

 

"Kami meramalkan pertumbuhan yang lebih kuat untuk perniagaan perbankan pengguna tahun ini dan menjangkakan permintaan hartanah yang lebih tinggi di negara ini dan ASEAN secara keseluruhan sejajar dengan pemulihan ekonomi global," katanya.

 

Sementara itu, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, pihaknya turut berbesar hati di atas kerjasama yang dijalinkan dengan Kumpulan CIMB.

 

"Kami telah berkembang menjadi kumpurlan teknologi hartanah terkemuka di Asean sejak menjadikan Malaysia ibu pejabat operasi bagi Juwai IQI. 

 

"Kami tidak sabar untuk melihat perkembangan kerjasama ini," katanya. -DagangNews.com