Kurang pemangkin dalam masa terdekat, ‘pegang’ saham Aeon - HLIB Research | DagangNews Skip to main content

Kurang pemangkin dalam masa terdekat, ‘pegang’ saham Aeon - HLIB Research

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Julai - Firma penyelidikan, Hong Leong Investment Bank Research (HLIB Research) mengekalkan saranan ‘pegang’ saham Aeon Co. (M) Berhad susulan pemangkin positif bagi penilaian semula ekuiti kumpulan dilihat berkurangan dalam masa terdekat ini. 

 

Penganalisisnya, Syifaa’ Mahsuri Ismail mendapati pihak pengurusan Aeon masih lagi berhati-hati terhadap prospek jangka masa terdekat kumpulan walaupun terdapat banyak peluang tersedia.

 

“Berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh dan PKP Diperketatkan (PKPD) di beberapa lokaliti, jualan runcitnya telah terjejas akibat kehadiran pengunjung yang lebih rendah. Kami difahamkan bahawa hanya Aeon Supermarket dan farmasi Wellness yang dibenarkan beroperasi sementara yang lain masih ditutup bagi tempoh berkenaan (penyewa perkhidmatan bukan perlu, kedai serbaneka dan Daiso).

 

“Jika dibandingkan, pada tahun kewangan 2020 (FY20), kedai-kedai perkhidmatan bukan perlu ditutup bagi tempoh 46 hari bermula 18 Mac hingga 3 Mei. FY21 sebaliknya menyaksikan penutupan kedai yang lebih panjang bermula PKP 2.0 (27 hari) ditambah ‘lockdown’  Fasa 1 yang berterusan selama 52 hari (setakat 22 Julai),” jelas Syifaa’ Mahsuri dalam satu nota kajian. 

 

Katanya lagi, kawasan yang dikenakan PKPD di Selangor, Kuala Lumpur dan Seremban menyumbang kira-kira 40% daripada hasil keseluruhan kumpulan. 

 

Walaupun kehadiran pengunjung Aeon menyaksikan penurunan, namun kumpulan masih lagi mencatatkan peningkatan 20% saiz pembelian berbanding sebelum pandemik didorong oleh strategi penempatan produk yang berkesan ditambah pilihan pengguna untuk mengurangkan kekerapan kunjungan ke pasarayanya.

 

Buat masa ini, Aeon menyaksikan jualan dalam talian kumpulan berprestasi dengan positif, melonjak 10 kali ganda berbanding jualan yang dicatatkan pada suku keempat 2020 (4Q20).

 

Namun sumbangan penjualan dalam talian masih lagi kurang daripada 1% kepada kumpulan. 

 

Dari segi rebat penyewaan, Syifaa’ Mahsuri berkata, kadar yang diberikan adalah lebih rendah berbanding April 2020 memandangkan Aeon membantu untuk menggerakkan lebih banyak penyewanya beralih ke platform dalam talian. 

 

Sebagai rekod, Aeon menawarkan pengecualian bayaran sewa selama 28 hari pada tempoh PKP 1.0 untuk mengurangkan beban kewangan penyewanya.

 

“Jika dibandingkan dengan PKP sebelum ini, kami berpendapat impak penguatkuasaan kali ini kurang teruk memandangkan kumpulan lebih bersedia daripada pengalaman tahun lalu.

 

“Namun, kami fikir ia tidak pulih sepenuhnya kepada paras sebelum pandemik dan mengunjurkan pemulihan yang lebih kukuh, hanya berlaku apabila COVID-19 dibendung dengan jayanya,” tambah beliau. 

 

HLIB Research masih mengekalkan harga sasaran (TP) Aeon pada kadar RM1.16 sesaham. - DagangNews.com