Lam Research capai matlamat pembinaan hab perkilangan Asia | DagangNews Skip to main content

Lam Research capai matlamat pembinaan hab perkilangan Asia

Lam Research

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 8 Mac. - Syarikat pembekal global peralatan semikonduktif, Lam Research Corporation (LRCX) melancarkan upacara perletakan bumbung maya sebagai sambutan pencapaian matlamat pembinaan kilang Lam Manufacturing Malaysia.

 

Kilang baharu berteknologi tinggi itu dijangka akan memulakan operasi pada separuh masa kedua 2021.

 

Timbalan Presiden Korporat Perkilangan Lam Research, Mike Snell berkata, Lam Manufacturing Malaysia akan berfungsi sebagai hab perkilangan Asia dan memainkan peranan penting dalam mendukung permintaan peralatan dari pelanggan yang semakin meningkat.

 

“Tapak baharu ini akan menjadi sebuah kemudahan perkilangan maju yang fleksibel dan mampu mengendali pengembangan operasi kami kelak," jelasnya dalam satu kenyataan.

 

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yoew yang turut hadir dalam acara berkenaan memberitahu,  Pulau Pinang sememangnya telah menjadi tuan rumah pengeluar peralatan global ternama yang menumpukan kepada proses akhir.

 

"Saya yakin penambahan Lam Research akan saling melengkapi kedudukan kami dan mengubah Pulau Pinang menjadi sebuah hab perkilangan peralatan depan-ke-belakang Elektrik & Elektronik (E&E) rantau ini, mahupun global. 

 

"Kerajaan negeri memberikan sepenuh komitmen untuk menyediakan perkhidmatan bantuan terbaik demi perluasan projek Lam Research di sini," ujar beliau.

 

Sementara itu, Pengurus Am Lam Manufacturing Malaysia, Soon Kuek berkata, pihaknya berpuas hati dengan kualiti bakat tenaga kerja Malaysia.

 

“Kami sangat yakin dengan pasukan yang sedang kami bentuk dan kami akan kekal komited untuk terus melabur dalam pembangunan kemahiran teknikal serta keupayaan mereka.”

 

“Kami kini sedang berusaha dengan rakan-rakan kerjasama untuk memastikan komponen kami dibekalkan pembekal tempatan pada peratusan yang signifikan, malah kami percaya hal ini akan memberikan sumbangan besar kepada ekonomi rantau ini," katanya.

 

Dalam pada itu,  Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) komited untuk terus menarik pelaburan berkualiti, terutamanya dari bidang teknologi dan inovasi yang seterusnya melonjakkan Malaysia ke peringkat lebih tinggi.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azman Mahmud berkata, pelaburan Lam Research untuk pengeluaran peralatan fabrikasi akan membantu memenuhi permintaan pemprosesan data dan aplikasi komunikasi yang semakin meningkat, terutamanya buat pemboleh teknologi Industri 4.0. 

 

"Dalam jangka 5 tahun lepas sahaja, MIDA telah meluluskan 106 projek perkilangan dengan pelaburan bernilai RM51.7 billion (AS$12.6 billion) di negeri ini," katanya. - DagangNews.com