Skip to main content
Oleh WAINUIOMATA - 15 October 2020

Lapor diri di Dubai Internet City pada 2000

 

Dua puluh tahun berlalu. Terasa sekejap sahaja. Kini sudah bertukar organisasi dan lebih banyak struktur yang membangunkan keseluruhan projek. Sudah tiada kawan yang memegang jawatan dan berkhidmat dengan organisasi ini. Sudah kembali jauh dan hanya melihat sekadar sebagai orang luar.

 

Memang penuh peristiwa dan kejadian di Dubai Internet City, sejak projek pertama Sheikh Mohammad Al Maktoum, timbalan presiden dan perdana menteri UAE pada tahun 1999. Saya masih ingat nombor staf yang ke-22, nombor rahmat yang mengubah nasib dan perjalanan hidup.

 

Nombor itu agak unik dan cantik pada pandangan orang. Bertuah kerana yang terpilih memegang jawatan untuk ke-22. Masih awal penubuhan dan baharu lagi kongomelarat.

 

 

DIC

 

Saya berada di Riyadh, Arab Saudi semasa jawatan kosong untuk Dubai Internet City terbuka. Saya tidak tahu menahu jawatan kosong itu dan bila disiarkan. Dubai masih asing bagi saya dan tempat yang baru. Mendengar Dubai pun tidak pernah, apalagi singgah.

 

Kota Riyadh mempunyai pelbagai jawatan kosong untuk mencari pekerja. Waktu itu saya bekerja sebagai pengurus sistem pengurusan pengguna untuk sebuah syarikat internet yang pesat membangun. Cuma gajinya rendah berbanding syarikat antarabangsa tetapi lebih besar dari Malaysia. Saya tidak berpuas hati dengan kedudukan ini dan mula mencari kerja lain.

 

Saya sempat mengerjakan haji tanpa visa, semuanya kerana saya tetamu Allah. Saya sudah ceritakan sebelum ini pemergian saya tanpa visa dengan rombongan orang-orang Indonesia yang beratus ramainya dari Riyadh. Alhamdulilah kerana berhasil mengerjakan haji tanpa sekatan.

 

Sewaktu bekerja di syarikat internet, antara yang terbesar di Arab Saudi itu saya turut mencari kerja lain yang bersesuaian dengan minat saya ketika itu. Setelah lapan tahun bekerja dengan TV3. Pelbagai temuduga yang saya pergi dan ada yang menawarkan kerja. Saya mula memilih dan membuat perbandingan tentang gaji dan lain-lain hal yang bersangkutan. Di tempat orang mahu memaksimumkan segalanya untuk kepuasan diri sendiri.

 

Sementara itu saya ada juga menghantar resume atau CV ke Dubai, Abu Dhabi dan Qatar secara e-mel. Dapat juga balasan dan jawapan yang menyelerakan. Ramai terperanjat ada pemohon kerja dari Malaysia yang bekerja di Arab Saudi.

 

Permohonan saya ke Dubai menarik perhatian seorang pengarah urusan syarikat IT yang menghubungi saya, Mehboob Hamza. Syarikatnya antara yang terbesar di Dubai. Dia berkata saya sesuai untuk bekerja di Dubai Internet City di bawah kawan baiknya, Hamid Kazem, CEO yang baru bekerja di Dubai Internet City.

 

Saya langsung tidak kenal sesiapa di Dubai, apatah orang besar seperti Hamid Kazem. Dia bekerja sebagai pengarah urusan Arthur Andersen Dubai dan penasihat Sheikh Mohammad. Satu pertalian yang akrab.

                                     

fudzail
Penulis bersama Hamid Kazem di Dubai - Koleksi Gambar Peribadi Mohd Fudzail 

 

Lantas dia perkenalkan saya kepada Hamid Kazem melalui e-mel. Dia memperkenalkan saya sebagai pengurus IT dari TV3.

 

Hamid kemudian menghubungi saya melalui telefon. Dia bercakap dengan slang Amerika. Dia sudah lama bekerja di Amerika sebagai konsultan di Arthur Andersen.

 

Dia berbual lama dan akhirnya bertanya, “Would you like to join us?”

 

Saya tergamam dan gembira, lantas menjawab, “Of course!”

 

Bermulalah sejarah baru yang mengubah nasib saya selama-lamanya. Saya termanggu memikirkan betapa mudahnya saya mendapat kerja di negara baru. Dengan sekali panggilan telefon kepada CEO terus mendapat tawaran.

 

Terima kasih Mehboob yang tidak pernah bertemu, sekadar berutus e-mel.

 

UAE tidak pernah saya bermimpi untuk bekerja malah untuk transit berjalan-jalan. Negara itu asing bagi saya dan tidak pernah di sebut pun dalam perbualan. Selalu ke Arab Saudi adalah terus tanpa berhenti di mana-mana.

 

uae
Peta Emiriah Arab Bersatu di Teluk Arab.

 

Saya bersiap untuk berpindah dari Riyadh ke Dubai. Mudah kerana tanpa keluarga. Hanya pakaian saja yang dibawa. Saya tinggal di hotel sejak enam bulan lalu dan mula mencari rumah untuk keluarga, dapat pula kerja di Dubai.

 

Saya diminta untuk singgah di Dubai dan dibayar sepenuhnya oleh Dubai Internet City. Saya terus menempah tiket untuk pulang ke Malaysia melalui Dubai. Pertama kali menaiki Emirates. Saya tidak pernah dengar mengenai Emirates.

 

Kawan-kawan di Riyadh terperanjat dengan langkah saya berhenti kerja dari syarikat Internet itu. Bos saya juga bertanya ke mana saya selepas itu. Bila diberitahu saya mendapat kerja di Dubai Internet City, timbul rasa kagum. Bos saya membayar segala perbelanjaan saya di Riyadh dan mengucapkan selamat bertugas. Dia merasakan saya bertuah dapat bekerja di situ kerana projek besar iaitu AS$800 juta.

 

Ketika itu, Dubai Internet City adalah projek terkenal di Timur Tengah. Orang menyebut-nyebut tentangnya dan memperkatakan. Saya sendiri tidak tahu bagaimana projek ini akan dibuat kerana masih dalam perancangan. Bacaan di akhbar pun masih kabur.

 

Saya tiba di Lapangan Antarabangsa Dubai waktu malam pada bulan Jun 2000. Tidak ramai orang dan mudah mengambil teksi. Saya melihat kota Dubai di malam hari dan cuaca agak panas. Musim panas waktu itu.

 

Kota Dubai masih lagi membangun. Tidak banyak bangunan tinggi seperti sekarang. Jalan Sheikh Zayed masih kosong tanpa pembangunan.

 

Menetap di hotel yang disediakan oleh Mehboob di kawasan yang dipanggil New Dubai. Tidak banyak bangunan di sekitarnya. Kawasan masih baru lagi.

 

Setelah pagi saya bersiap ke pejabat Dubai Internet City untuk bertemu Hamid Kazem. Terletak di Jalan Sheikh Zayed yang terkenal. Saya meninjau sepanjang perjalanan yang tidak sibuk. Tiada jem dan kesibukan.

 

aaa
Jalan Sheikh Zayed yang terkenal di tengah-tengah bandar raya Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

 

Disambut oleh petugas wanita, campuran Arab dan Orang Putih. Saya tergamam melihat beliau yang cepat mesra dan banyak cakap. Berbual tentang Dubai dan sebagainya. Ada saja perbualannya.

 

Pejabat itu kecil sahaja dengan dua tiga orang pekerja. Untuk menyambut tetamu yang datang. Ramai menanti. Saya tidak pasti untuk bekerja.

 

Bila saya melangkah untuk bertemu Hamid Kazem untuk ke tingkat atas, di lif, saya bertemu seseorang.

 

“I know who you are, we have the same name!”

 

Dia menegur, saya terkejut.

 

“Mohammad Gergawi!”

 

Saya lagi terkejut. Pengerusi Dubai Internet City yang sebaya dengan saya. Saya baru memeriksa laman web Dubai Internet City dan tidak sangka bertemu Mohammad Gergawi. Dia berkata sudah kenal saya menerusi cerita Hamid, seorang dari Malaysia dan menunggu kedatangan saya.

 

Mohammad Gergawi cepat mesra dan mengajak saya untuk keluar bila sudah menemui Hamid Kazem. Saya berkata Insya-Allah.

 

Pejabat Hamid Kazem terletak di tingkat teratas bangunan 30 tingkat. Hanya dia dan setiausahanya. Sentiasa sibuk dengan tetamu. Ada sahaja menanti. Setiausahanya seorang peramah dan cukup baik hati. Melayan saya dengan sepenuhnya. Menanti Hamid Kazem kelapangan. Bilik besar tersergam indah. Ada dua meja yang kosong.

 

Hamid Kazem menemui saya, menerangkan tugas-tugas dan harapannya terhadap saya. Saya diberi kebebasan untuk menjalankan tugas. Nombor staf saya adalah 22.

 

Saya menemuinya untuk menandatangani surat tawaran bekerja yang diserahkan. Saya membaca dengan perlahan dan berhati-hati. Gajinya lebih besar daripada purata yang bekerja di luar negara pada masa itu. Jawatan, pengurus IT dan telekomunikasi. Satu jawatan yang saya impikan kerana dapat berbuat sesuatu untuk menaikkan nama Dubai.

 

Saya segera menandatangani surat itu dengan sebaiknya. Saya diminta melapor diri dua minggu selepas itu. Selepas pulang dari Malaysia dan bercuti. Masa untuk kembali bekerja di negara baru, UAE yang saya tidak tahu bagaimana.

 

Bermulalah, kehidupan yang serba mencabar dan berkelapangan di kota Dubai, Jun 2000!

 

Mohd Fudzail Mohd Nor adalah Karyawan Tamu di UniSZA dan telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. 

 

KOLEKSI WAINUIOMATA

Menjadi jemaah tunggal Malaysia di khemah Indonesia

Tilam ditarik, kepala terhantuk lantai Masjidilharam

INDONESIA BAGUS BAGUS !!!

Mengerjakan haji dengan visa instant

Dinafikan Koridor Raya Multimedia, Selamat Datang Dubai Internet City