Lebih 3,000 hadir meriahkan Sambutan Hari Raya K-KOMM | DagangNews Skip to main content

Lebih 3,000 hadir meriahkan Sambutan Hari Raya K-KOMM

Tan Sri Annuar Musa (tengah) beramah mesra bersama para tetamu yang hadir pada Sambutan Hari Raya Aidilfitri (K-KOMM) dan Majlis Sekalung Budi Pengamal Media, Penggiat Seni dan Industri Kreatif di Dataran Gemilang hari ini. Turut kelihatan, Datuk Seri Mohammad Mentek. - Gambar Bernama

PUTRAJAYA 26 Mei - Lebih 3,000 tetamu hadir memeriahkan Majlis Sambutan Hari Raya Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) di Dataran Gemilang, di sini hari ini.

 

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa yang berpakaian baju melayu biru gelap lengkap bersamping sedondon, tiba kira-kira 12 tengah hari diiringi Ketua Setiausaha K-KOMM, Datuk Seri Mohammad Mentek.

 

Majlis sambutan hari raya itu yang dua tahun tidak dapat dianjurkan ekoran pandemik COVID-19, diadakan bagi menghargai dan mendekatkan ukhwah Keluarga Malaysia khususnya warga K-KOMM selain menghargai para media yang sentiasa menyokong K-KOMM, jabatan dan agensi di bawahnya melalui penerbitan dan pemberitaan di media cetak, elektronik dan digital.

 

"Syukur Alhamdulillah. Sambutan hari raya yang cukup meriah setelah sekian lama tak ada rumah terbuka dan yang istimewanya kerana yang hadir tu bukan saja warga kementerian dan agensi tetapi yang datang tu daripada kalangan orang ramai termasuklah golongan karyawan, para artis, biduan dan biduanita bersama-sama memeriahkan majlis.

 

"Ini hari Keluarga Malaysia. Bukan hanya majlis hari raya kementerian. Saya ucap terima kasih pada semua pihak yang telah memeriahkan majlis dan juga menjayakannya, majlis yang sangat berjaya," katanya ketika ditemui.

 

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

 

Antara tetamu yang hadir memeriahkan Sambutan Hari Raya K-KOMM ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun; Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Senator Datuk Ras Adiba Radzi dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Roslan Ariffin.

 

Annuar turut meluangkan masa melawat 21 gerai yang menyajikan pelbagai hidangan makanan dan minuman antaranya lemang, rendang, sate, apam balik, dim sum, rojak, dodol, nasi kerabu dan nasi dagang, menurut Bernama.

 

Pada majlis itu, seramai 24 orang artis veteran daripada empat persatuan iaitu Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) dan Yayasan Artis Veteran Malaysia (YAVM) diraikan sempena Majlis Sekalung Budi Pengamal Media, Penggiat Seni dan Industri Kreatif yang turut diadakan serentak dengan sambutan hari raya itu.

 

Turut sama disantuni adalah 43 anak yatim dari Baitul Ulfah Centre, Seri Kembangan, Selangor. - DagangNews.com