Skip to main content

Lebih ramai OKU nikmati faedah Belanjawan 2021

KEMUDAHAN untuk orang kurang upaya disediakan di pusat pendidikan tinggi negara, seperti Universiti Putra Malaysia ini.

 

 

Oleh MOHD FUDZAIL MOHD NOR
editor@dagangnews.com

 

 

BELANJAWAN 2021 masih dibincangkan dan diulas oleh rakyat yang menghadapi pandemik COVID-19 dan PKPB. Termasuk golongan OKU yang  sehingga 30 Jun 2019 adalah berjumlah 549,554 OKU berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

 

Jumlah terbabit terlalu rendah jika dibandingkan dengan sasaran 15% OKU yang perlu berdaftar di sesebuah negara seperti yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

 

Dengan populasi negara kira-kira 32.4 juta, dianggarkan 4.86 juta daripadanya adalah golongan OKU. Jika berdasarkan anggaran oleh WHO, masih ramai lagi golongan OKU di negara ini yang belum berdaftar dengan JKM.

 

Tujuan pendaftaran itu bukan untuk mendapat bantuan kewangan dan kebajikan sahaja. Sebaliknya untuk integriti data bagi memastikan keberadaan dan keperluan OKU sentiasa mendapat tempat sewajarnya.

 

Kita biarkan belanjawan dengan statistik yang menampakkan kegembiraan untuk OKU. Biar OKU merayakan pertambahan insentif untuk setahun lagi di sebalik pandemik COVID-19.

 

aaa

 

OKU yang mendaftar adalah mereka yang berani untuk tampil ke hadapan dan berdepan dengan kemungkinan. Jumlah sebenar kita tidak tahu kerana banyak hal yang mengekang OKU daripada memberi maklumat.

 

Apabila kita selidik di kampung-kampung, ramai yang tidak berdaftar kerana kesedaran yang kurang. Ini adalah tanggungjawab ibu bapa untuk memberi peluang kepada anak-anak mereka untuk meneroka alam yang serba canggih.

 

Jumlah yang tidak berdaftar lebih ramai kerana persepsi yang berbeda. Ada yang malas untuk ke tempat-tempat yang dikhaskan. Ada ibu bapa yang tidak bertangungjawab dan membiarkan anak-anak terasing.

 

Mengikut Akta Orang Kurang Upaya 2008, “OKU adalah mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat.”

 

Tujuh kategori OKU yang ada hari ini ialah Kurang Upaya Pendengaran, Kurang Upaya Penglihatan, Kurang Upaya Pertuturan, Kurang Upaya Fizikal, Masalah Pembelajaran, Kurang Upaya Mental dan Pelbagai (Multiple Disabilities).

 

Ada pelbagai kecacatan yang mengekang dan melumpuhkan seseorang, tidak seperti berkeadaan sempurna dan sihat walafiat. Kalau kita pergi ke pusat terapi hospital, kita mendapati ada pelbagai kelumpuhan yang dihadapi rakyat. Ada yang berat dan ada yang ringan.

 

Selangor mencatatkan jumlah OKU yang teramai 65,612 OKU yang bernafas di negeri itu. Tidak pasti kerajaan Selangor dengan insentif membantu OKU selain kemudahan meletak kenderaan.

 

Kerajaan telah mengambil langkah-langkah yang sewajarnya dengan menyediakan kemudahan dan keistimewaan kepada OKU yang berdaftar. Walaupun masih banyak yang kita mahukan dan impikan dalam pembangunan negara, pada masa ini sudah berpuas hati dengan apa yang diberi.

 

aaa
Ras Adiba Radzi dilantik sebagai Senator di Dewan Negara pada Mei 2020, mewakili suara OKU.

 

Keutamaan meningkatkan peluang pekerjaan kepada OKU dalam semua bidang dan menambahkan jumlah peniaga dalam kalangan OKU. Bidang pekerjaan dan perniagaan masih lagi sesuatu yang sukar untuk para OKU. Ada yang berjaya namun jumlahnya terlalu kecil.

 

Sementara Kementerian Pelajaran yang lalu sempat melancarkan Garis Panduan Pelaksanaan Dasar Inklusif Orang-Orang Kurang Upaya di Institiut Pengajian Tinggi. Ini berteraskan nilai-nilai murni daripada masyarakat penyayang, harmoni dan bersatu. Tidak tahu dengan Menteri Pelajaran terkini.

 

Ini adalah untuk institut pengajian tinggi di semua peringkat untuk mengenal pasti OKU yang berada di dalam kampus. Secara holistik dan komprehensif. Pelbagai halangan dan cabaran sebelum ini yang menggagalkan usaha-usaha murni.

 

Secara amnya, Garis Panduan ini memberi penekanan kepada penyediaan persekitaran pembelajaran yang kondusif kepada pelajar OKU serta kemudahan infrastruktur yang mesra OKU yang baik dan selesa di IPT.

 

Dengan segala perancangan kerajaan di IPT, kita harapkan bertambah ramai OKU yang dapat mengikuti pembelajaran dengan baik.  Buat masa ini kesedaran masih di peringkat awal dalam kalangan generasi muda. Masih banyak yang diperlukan dalam memastikan Garis Panduan ini bermanfaat.

 

Kita juga masih kurang IPT yang memberi peluang kepada OKU dengan kursus yang dianjurkan dan ada IPT yang tidak menerima pelajar-pelajar OKU. Kebimbangan tidak dapat memenuhi pelajar OKU bagaimanapun tanpa disedari menafikan hak mereka  untuk menempatkan diri ke menara gading lebih-lebih lagi universiti pilihan.

 

Selanjutnya kemudahan yang dimaksudkan bukan dari segi fizikal yang merangkumi infrastruktur dan prasarana seperti bangunan dan kelas yang mesra OKU.  Perkara ini turut melibatkan sistem sokongan bagi proses pengajaran dan pembelajaran mereka.
Sistem sokongan ini antaranya dalam bentuk kelonggaran atau fleksibiliti yang diberikan kepada pelajar OKU. Ini termasuklah masa tambahan ketika menduduki peperiksaan, menjalani peperiksaan di tempat berasingan disebabkan keperluan khusus serta kelonggaran dari segi jumlah maksimum tempoh pengajian mereka.

 

aaa
Keratan akhbar Kosmo! bertarikh 31 Oktober 2018 mengenai pencapaian graduan OKU yang menerima ijazah di UPM.

 

Mereka adakalanya tidak mampu untuk mengambil beban kerja yang sama dengan pelajar lain, bergantung kepada tahap ketidakupayaan mereka. Perkara ini perlu diambil kira, sama juga seperti program pendidikan khas atau Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang ada kelonggaran tertentu untuk pelajar OKU di sekolah.

Pendekatan yang diambil dalam mengatasi perkara yang menjadi halangan fizikal, komunikasi, sistem dan juga sikap kepada suasana inklusif termasuklah penyediaan peralatan sokongan seperti kerusi roda bermotor termasuk penyelenggaraan, alat prostetik seperti kaki palsu, alat bantuan pendengaran dan ‘ipad’ bagi mereka yang mempunyai masalah penglihatan.

 

Contohnya daripada aspek prasarana di tempat tinggal OKU, kemudahan pengangkutan untuk memudahkan pergerakan mereka di sekolah atau universiti termasuk dalam penglibatan aktiviti pembangunan sahsiah dan kokurikulum, semuanya perlu bersifat komprehensif.

Untuk itu, kita mungkin boleh melaksanakan inisiatif kerjasama awam-swasta, tanggungjawab sosial korporat oleh pihak swasta dan sebagainya terutama dalam usaha menaik taraf bangunan dan kemudahan sedia ada supaya lebih bersifat mesra OKU. Usaha ini boleh dilakukan secara berperingkat sebab kita sedia maklum ia memerlukan masa untuk melaksanakannya.

 

Belanjawan 2021 turut diharapkan yang kerajaan turut menyediakan peruntukan khusus bagi menaik taraf sistem pendidikan di universiti dan sekolah terutama bagi memenuhi hak dan keperluan golongan OKU.

Bagi mencapai matlamat pendidikan bertaraf dunia ini juga bermaksud tidak akan ada pihak yang terpinggir dalam sistem pendidikan negara.

Jika mahu mencapai world class university, kita juga perlu bersedia untuk memastikan nilai kebersamaan sistem pendidikan dapat dinikmati oleh semua golongan pelajar termasuk OKU, tanpa halangan dan rasa sukar disebabkan ketidakupayaan mereka.

Di samping itu, komuniti universiti yang terdiri daripada kakitangan pentadbiran, pensyarah dan mereka yang terlibat perlu mempunyai kesedaran OKU, kemahiran berkaitan pendidikan inklusif termasuklah memahami keperluan pelajar OKU yang terdiri daripada berbagai kategori.

 

aaa

 

Bagaimana selepas tamat pengajian dari IPT? Ini adalah masalah yang lebih besar selepas berjaya di IPT. Kerajaan menyediakan 1% dari sumber manusia untuk OKU dari pekerjaan. Ini bersesuaian dengan kelayakan yang dicapai dan penempatan pekerja. Namun kerajaan sendiri enggan mengambil pekerja OKU disebabkan pertambahan kerja. Apalagi dengan pandemik COVID-19 dengan hampir sejuta mengganggu dan siswazah mencari kerja.

 

Masih tidak dapat gambaran sebenarnya kerajaan dengan 1% untuk OKU dari segi pembahagian atau kerja yang bagaimana. Pergi laman web yang dalam maklumat kerajaan tidak berfungsi. Tiada siapa tahu apakah yang dimaksudkan okeh kerajaan dan berapa peratus yang diambil bekerja.

 

Bagaimana untuk pihak swasta yang lebih luas bidang pekerjaan dan lebih fleksibel dalam menentukan kerja? Pihak swasta lebih bersedia sebenarnya dalam mengambil pekerja OKU.

 

Takkanlah mengharapkan hanya restoran makanan segera mendapatkan OKU mengisi kekosongan. Perkara ini kerap dilakukan untuk promosi dan pengiklanan. Tidak perlu ke IPT untuk bekerja sebegini dan berapa lama mahu bekerja di tempat-tempat begini.

 

Bagaimana kerja-kerja yang memerlukan  pemikiran dan daya saing yang tinggi? Berbekalkan ijazah yang semestinya berkelayakan, cuma seorang OKU? Dalam resume tertulis OKU yang semestinya dibuang sahaja.

 

Pihak swasta tidak perlu inisiatif oleh kerajaan dengan mengambil OKU untuk bekerja. Sekiranya sebuah pihak swasta mengambil seorang pekerja OKU sudah cukup untuk menangani isu ini. Berapa peratus OKU yang mencari kerja untuk sesuap nasi, boleh dikira. Namun mereka terus terpinggir dan tidak diendahkan.

 

Kerajaan telah memulakan langkah ositif kepada OKU di peringkat sekolah dan lebih kepada IPT untuk inklusif. Dengan IPT yang mula mengambil ramai OKU kita mengharapkan tidak berhenti harapan setakat IPT.

 

Kita berharap pihak swasta dapat menyambung usaha ini dengan mengambil OKU sebagai pekerja dalam memberi sinaran kepada siswazah-siswazah OKU. Mungkin agak menyusahkan kerana kepelbagaian OKU yang terdiri daripada tujuh kategori utama.

 

Tidak memadai untuk meletak kerja kosong dan mengharapkan OKU yang terbabit memohon. OKU yang berjaya dengan jawatan lebih suka menyendiri daripada berusaha meyakinkan masyarakat dengan keadaan dan dilema OKU. Kita tidak salahkan mereka kerana kesusahan dan rintangan yang mereka lalui. Kesimpulannya, OKU akan terus menghadapi zaman kesukaran dan kegetiran disebabkan faktor-faktor ini dan tiada penyudahannya!

 

Mohd Fudzail Mohd Nor adalah Karyawan Tamu di UniSZA dan juga kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan WAINUIOMATA setiap Khamis.