LKL International umum tawaran persendirian dan skim pilihan saham pekerja | DagangNews Skip to main content

LKL International umum tawaran persendirian dan skim pilihan saham pekerja

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Sept. - Syarikat penjagaan kesihatan, LKL International Berhad (LKL International) mengeluarkan cadangan tawaran persendirian (private placement) sehingga 20% daripada jumlah terbitan sahamnya dan skim pilihan saham pekerja (ESOS).

Bagaimanapun, tawaran persendirian sehingga 85,760,000 saham itu belum menentukan pembeli khusus dan akan diumumkan kemudian, termasuk jumlah sebenar terbitan saham itu.

Menurut LKL International menerusi pengumuman syarikat di Bursa Malaysia, hasil daripada kedua-dua langkah itu adalah bagi tujuan berbeza antaranya termasuk pembelian dua buah kilang di Seri Kembangan, Selangor.

Untuk tujuan ilustrasi, berdasarkan harga terbitan indikatif RM1.10 setiap tawaran persendirian dan penerbitan hingga 85,760,000, ia dijangka meningkatkan hasil kasar hingga RM94.336 juta.

“Hasil itu akan digunakan untuk perbelanjaan dan pengembangan modal, pelaburan atau projek akan datang , pembayaran balik pinjaman bank, modal bekerja dan anggaran perbelanjaan berhubung cadangan ini.

“Hasil daripada ESOS pula akan digunakan untuk keperluan modal bekerja akan datang kumpulan syarikat antaranya termasuk pembayaran perbelanjaan staf (gaji, bonus dan elaun) dan penahanan perbelanjaan operasi lain (utiliti dan penyelenggaraan pejabat).

“Hasil yang akan digunakan bagi setiap komponen modal bekerja tertakhluk kepada keperluan operasi kumpulan syarikat pada masa untuk digunakan dan tidak dapat ditentukan ketika ini,” kata LKL International. 

Kedua-dua kilang itu digunakan untuk pembuatan dan pengumpulan katil penjagaan kesihatan atau perubatan, peralatan dan aksesori, pejabat pengeluaran dan juga gudang barang siap.

Tambah LKL International, pihaknya yakin terdapat permintaan yang tinggi untuk katil dan peralatan perubatan di Malaysia serta pasaran global.

“Disebabkan pandemik COVID-19, kerajaan Malaysia telah melaksanakan pelbagai langkah pengekangan sejak Mac 2020 menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

“Kumpulan syarikat positif dalam menguruskan perniagaan dalam persekitaran ini dan akan meneruskan strategi untuk meningkatkan keuntungan dan hasil menerusi perluasan portfolio produk dengan produk perubatan berkualiti tinggi selain mengembangkan rangkaian dan edaran produk. 

“Menyedari akan peluang ini, kumpulan syarikat telah memperuntukkan hasil daripada cadangan-cadangan berkenaan untuk perbelanjaan dan perluasan modal, pelaburan dan projek akan datang, pembayaran pinjaman bank dan tujuan modal bekerja,” kata syarikat itu. 

Perbelanjaan modal dijangka melonjakkan kecekapan proses pengeluaran kumpulan syarikat, meningkatkan kapasiti pengeluaran di kilang dan menyediakan ruang simpanan untuk memenuhi jumlah tempahan tinggi. 

Pembayaran semula pinjaman bank pula dijangka menjimatkan kadar faedah dan tambahan dana modal bekerja dapat melancarkan operasi harian disebabkan peningkatan jualan akibat COVID-19. - DagangNews.com