Skip to main content
Kolum Industri Kreatif - 16 April 2021

Lokasi filem jadi magnet pelancongan pasca COVID-19

 

PELANCONGAN merupakan antara industri yang paling teruk terjejas akibat pandemik COVID-19. Penutupan sempadan negara (serta sempadan negeri ketika ini) boleh dikatakan hampir melumpuhkan industri ini.

 

Situasi semasa memperlihatkan bahawa industri ini harus bertahan setidak-tidaknya sehingga penghujung tahun ini – sebelum dijangka berkemampuan untuk bangkit semula pada tahun hadapan setelah program vaksinasi selesai, serta sempadan negara mula dibuka semula.

 

Sebagai penggiat dalam bidang perfileman, saya melihat perfileman mempunyai impak besar dan mampu digunakan sebagai satu daripada mekanisme untuk mengembalikan kegemilangan sektor pelancongan dalam beberapa tahun ke hadapan.

 

Dua tahun lalu, saya melalui Pertubuhan Inovasi Digital Malaysia (PIDM) menggerakkan usaha advokasi yang diberi nama Malaysia Filming Destination. Usaha ini merupakan inisiatif holistik yang meliputi beberapa pengisian – namun antara komponen utamanya adalah usaha advokasi untuk membuka mata kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) tentang bagaimana industri perfileman dapat menyumbang kepada sektor pelancongan – atau kata yang lebih tepat adalah menggerakkan kegiatan ekonomi setempat melalui penggambaran filem – yang mana mampu membolehkan penduduk dan pengusaha tempatan menjana pendapatan daripadanya.

 

Lokasi pertama yang kami pilih sebagai fokus ketika itu adalah Pulau Langkawi – sebuah pulau yang terkenal dan berpotensi sebagai lokasi penggambaran filem berteraskan alam semula jadi. Kami bernasib baik kerana kajian kes bagi penggambaran filem di Langkawi  yang terdahulu telah menunjukkan bukti keberhasilan apa yang cuba kami buktikan.

 

Pengurus Pusat Pelancongan Langkawi, iaitu pusat di bawah kelolaan Tourism Malaysia menyatakan penggambaran beberapa filem hindi blockbuster dari India (termasuk yang dibintangi hero pujaan ramai Shah Rukh Khan) yang telah menjalani penggambaran di Langkawi membuatkan pulau ini dikenali di India.

 

Don
Satu laman web India mengenengahkan Skybridge Langkawi sebagai destinasi mesti dilawati, yang menjadi lokasi penggambaran filem Shah Rukh Khan dalam filem Don.

 

Ia membawa limpahan (spillover) yang besar kepada Langkawi – meningkatkan kedatangan pelancong India ke Langkawi - yang dalam masa beberapa tahun kebelakangan membawa kepada peningkatan jumlah penerbangan langsung antara lapangan terbang di India dengan Pulau Langkawi.

 

Paling menarik – dalam sesi lawatan yang diatur ke beberapa lokasi tumpuan pelancong di pulau terbabit membawa kami secara kebetulan menemui sendiri beberapa pelancong dari India yang berjalan berbekalkan foto-foto dari filem terkenal yang menjalani penggambaran di kawasan terbabit.

 

Mereka cuba mencari kembali lokasi dan posisi lakonan dalam filem terbabit, untuk meniru dan merakam kembali foto mereka seperti adegan filem tersebut. Begitulah besar impaknya sebuah filem kepada pelancongan.

 

Malaysia mempunyai banyak lagi lokasi yang berpotensi untuk diangkat sebagai lokasi pilihan penggambaran seperti Semporna, Ipoh, dan Georgetown – yang mana sememangnya sudah mula dilirik banyak produksi.

 

sabah
Tun Sakaran Marine Park di Semporna, Sabah. Ya lokasi syurga menyelam ini ada di Malaysia.

 

Apa yang perlu adalah meningkat koordinasi antara agensi berkaitan dalam menjadikan lokasi-lokasi tersebut sebagai benar-benar mesra penggambaran (filming friendly) iaitu faktor penting sama ada ia menjadi pilihan penerbit atau tidak.

 

Untuk memperlihatkan hal ini juga, suka untuk saya menyorot kajian kes yang dikenal pasti oleh Badan Perfilman Indonesia (BPI) mengenai kejayaan filem dalam menjadi pencetus gelombang pelancongan di beberapa lokasi di negara mereka.

 

Filem blockbuster Indonesia Laskar Pelangi arahan sutradara Riri Riza telah menukar sebuah pulau yang asalnya tidak dikenali di kepulauan Riau, iaitu Pulau Belitung – dengan membawa kenaikan pelancong sebanyak 1,800% sejak filem itu ditayangkan di Indonesia dan beberapa negara lain - termasuk Malaysia.

 

belitung

 

Sebuah lagi filem terkenal Indonesia iaitu Ada Apa Dengan Cinta 2 dengan menjadikan salah sebuah lokasi ikonik dalam filem itu – iaitu sebuah kafe di Jogjakarta – daripada sebuah kafe biasa menjadi salah satu ikon tarikan pelancong utama di bandar tersebut.

 

Selain itu, kita dapat melihat bagaimana filem Hollywood lakonan Leonardo DiCaprio pada tahun 2000 iaitu The Beach telah mempopularkan Pulau Koh Phi Phi di Thailand menjadi satu lagi koleksi pulau tarikan pelancong di sekitar Phuket dan Krabi.

 

Menuju ke arah itu – usaha advokasi kepada pihak kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan harus terus digerakkan – agar pihak berkenaan dapat melihat signifikan perfileman kepada mereka. Harus diperlihatkan bahawa pembangunan industri filem bukan sekadar tergantung kepada agensi kerajaan persekutuan – seperti FINAS, MDEC dan Kementerian Komunikasi & Multimedia (KKMM) semata-mata.

 

Kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan harus mula memainkan peranan kerana pembangunan industri ini bukan sekadar terhad manfaatnya kepada industri ini - seperti aspek pembangunan bakat, generasi muda, dan sebagainya – namun ia memberikan impak yang besar kepada sektor lain, seperti sektor pelancongan sebagaimana yang  telah diperjelaskan panjang lebar.

 

Ini merupakan praktis yang diamalkan di kebanyakan negara – dengan mengambil contoh beberapa seperti Jepun dan Korea - yang mana bukan sekadar kerajaan negeri/wilayah, malah pihak berkuasa tempatan di peringkat daerah begitu aktif mendukung sektor penggambaran.

 

klia
Kajian ekonomi sumbangan industri perfileman kepada Korea.

 

Selain itu, agensi dan jabatan sektor pelancongan juga boleh mula melihat untuk menjadikan galakan penggambaran filem di tempat mereka sebagai salah satu agenda mereka. Jika sebelum ini, jabatan malah kementerian pelancongan mempunyai insentif khusus dalam menggalakkan bidang mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran, tidak salah jika mereka mula memikirkan juga insentif bagi kegiatan penggambaran filem.

 

Ini kerana, dengan sedikit nilai insentif yang diberikan, setiap penggambaran filem yang datang akan membawa kepada perbelanjaan tempatan (local expenditure) yang lebih besar dalam menyuburkan ekonomi tempatan; malah ia menjadi promosi percuma apabila filem atau kandungan yang memaparkan tempat mereka ditayangkan di merata tempat. Ia pastinya mempunyai nilai pulangan yang lebih besar berbanding mengeluarkan perbelanjaan pengiklanan yang pasti lebih tinggi.

 

Oleh itu, dalam merangka usaha dan perancangan mengembalikan industri pelancongan ke posisi yang sewajarnya menjelang tahun hadapan – industri perfileman mampu dijadikan salah satu komponen platform berimpak ke arah itu.

 

Dari sudut yang lain, kepada pentadbir dan penggiat perfileman, usaha membuka mata semua pihak tentang hal ini perlu digembleng bersama kerana usaha ini bukanlah sekadar untuk memberikan `sumbangan bakti` kepada industri pelancongan, namun turut akan memperlihatkan peranan penting industri perfileman dalam  usaha pemulihan dan pembangunan ekonomi dalam konteks nasional – menjadikan ia sebuah industri penting negara.   - DagangNews.com

 

 

 

Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF)

 

 

BACA  ARTIKEL INDUSTRI KREATIF INI JUGA : 

Malaysia wajar sertai UNESCO Creative Cities Network (UCCN)

KEDUDUKAN KANDUNGAN KREATIF DALAM WILAYAH EKONOMI & PEMBANGUNAN SERANTAU

Akreditasi & penyumberluaran penting kepada pembangunan kandungan kreatif Malaysia

POTENSI BESAR UNTUK PENERBIT KANDUNGAN DI BORNEO

COVID-19, DTT DAN SALURAN TELEVISYEN TERESTIAL DI MALAYSIA HARI INI

Gelombang Anak Muda Tokusatsu & Harta Intelek

ADAKAH PELUANG UNTUK PLATFORM OTT TEMPATAN BERKEMBANG?

BIG DATA & POTENSI SILANG INDUSTRI BAGI KANDUNGAN KREATIF

 

 

 

 

 

 

Portfolio Tags