London School of Economics kata Jalil Rasheed bukan graduan LSE | DagangNews Skip to main content

London School of Economics kata Jalil Rasheed bukan graduan LSE

Jalil Rasheed

KUALA LUMPUR 22 Julai - London School of Economics and Political Science (LSE) menjelaskan sijil ijazah dalam bidang ekonomi dari University of London (UoL) adalah berbeza dengan ijazah yang dikeluarkan pihaknya. 

Ketua Jabatan Perundangan LSE, Kevin Haynes berkata: “Kami tidak mengiktiraf graduan UoL sebagai graduan LSE.”

Beliau menjawab pertanyaan daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC) Malaysia menerusi hantaran e-mel bertarikh 1 Julai lalu, dan sesalinan e-mel itu diberi kepada theedgemarkets.com. 

Berikutan penjelasan tersebut, ia sekali gus mengesahkan bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB), Jalil Rasheed yang mempunyai ijazah UoL adalah bukan alumni LSE.

Walaupun  kedua-dua institusi pendidikan UoL dan LSE yang mempunyai kolaborasi di bawah naungan UoL, tetapi sijil ijazah yang dikeluarkan adalah berbeza. 

Sebelum ini, satu e-mel dari Penolong Eksekutif Lembaga Pengarah LSE, Leda Cosentino menggambarkan bahawa ijazah yang dikeluarkan UoL di bawah kolaborasi dengan LSE boleh diterima sebagai sijil ijazah dari LSE juga.

Susulan itu, pihak SC mengajukan soalan berhubung kekeliruan pengiktirafan sijil ijazah oleh kedua-dua institusi pendidikan terbabit.

Jurucakap SC menjelaskan, e-mel yang dijawab oleh Jabatan Perundangan LSE telah mengesahkan bahawa dakwaan Jalil mendapat kelulusan ijazah LSE sebagai tidak tepat.

“Berdasarkan pertanyaan kami kepada LSE, e-mel yang dihantar untuk mengesahkan Jalil adalah lulusan LSE seperti didakwa kini telah dijelaskan oleh LSE, dan ia tidak tepat,” kata jurucakap SC. 

Pada 13 Jun lalu, Jalil telah menghantar surat peletakan jawatan kepada PNB atas alasan masalah peribadi dan telah dipersetujui oleh lembaga pengarah perbadanan berkenaan dua hari selepas itu. 

Ketika proses peletakan jawatan itu masih berlangsung, terdapat pihak tertentu yang mempersoalkan kelayakan Jalil termasuklah berhubung sijil UoL miliknya yang sebelum ini didakwa sebagai sijil sama dari LSE.

Sebuah gambar sijil ijazah yang dikatakan milik Jalil tular dalam laman media sosial sekali gus menimbulkan kekeliruan pelbagai pihak. Sijil itu menunjukkan ijazah dari UoL adalah kerjasama dengan LSE.

Hal itu sekali gus mencetuskan pelbagai pandangan dan persoalan bagaimana Jalil boleh dilantik sebagai presiden dan CEO PNB serta diberi kepercayaan untuk menguruskan aset PNB bernilai RM300 bilion.

Berikutan itu, situasi berkenaan didakwa telah mendorong Jalil untuk melepaskan jawatan selepas berkhidmat selama lapan bulan. - DagangNews.com