LSH Capital jalin kerjasama dengan Gamuda, tingkatkan kecekapan pembinaan menerusi IBS Digital | DagangNews Skip to main content

LSH Capital jalin kerjasama dengan Gamuda, tingkatkan kecekapan pembinaan menerusi IBS Digital

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Sept - LSH Best Builders Sdn. Bhd. (LSHBB) yang merupakan anak syarikat Lim Seong Hai Capital Berhad menjalinkan kerjasama dengan  Gamuda Industrial Building System Sdn. Bhd. (Gamuda IBS) bagi meningkatkan kecekapan pembinaan melalui penggunaan Sistem Bangunan Perindustrian digital (IBS digital).

 

Penggunaan IBS digital meningkatkan piawaian industri selain membina rangkaian produk yang luas dengan cepat termasuk rumah mampu milik dan mewah serta rumah bertingkat, serta kemudahan awam seperti sekolah dan hospital.

 

Melalui kerjasama ini, LSHBB dan Gamuda IBS menyasarkan untuk menyokong peralihan industri ke arah Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) melalui pendigitalan proses kerja dan automasi kerja pembinaan.

 

Perkara itu boleh dicapai dengan mengenal pasti dan mengubah projek daripada model penghantaran konvensional kepada automasi robotik dan penyepaduan lancar dengan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM).

 

Bagi tujuan pengeluaran, proses ini semuanya di dalam format digital dan saling berkaitan dengan sistem robotik terkini.

 

Melalui pembuatan ekosistem digital berskala luas ini, pembaziran pembinaan akan berkurangan, peningkatan produktiviti, tempoh pembinaan yang lebih singkat dan pengurangan pergantungan kepada buruh asing.

 

Pengerusi LSH Capital, Tan Sri Lim Keng Cheng berkata, menerusi kerjasama itu, LSHBB memainkan dalam pendigitalan industri pembinaan dan melihat potensi untuk penyesuaian penyelesaian IBS digital sebagai satu bentuk perubahan di dalam industri.

 

Beliau berkata, ia merupakan antara strategi untk mengurangkan risiko kekurangan tenaga pekerja di dalam pasaran dan memastikan kualiti kerja dengan amalan yang lebih mampan.

 

"Kami berharap dapat mewujudkan hubungan perniagaan yang produktif dengan Gamuda IBS dan akan meneroka projek yang memanfaatkan kekuatan kedua-dua syarikat.

 

"Kami berhasrat untuk mencapai matlamat perniagaan kami dengan menggunakan jenama, reputasi, kepakaran dan rekod prestasi Gamuda IBS dalam rangkaian IBS digital dan LSHBB, reputasi dan kepakaran dalam industri pembinaan," katanya. - DagangNews.com