LTAT belanja RM6 bilion untuk 'pesanan pukal' pembinaan LCS | DagangNews Skip to main content

LTAT belanja RM6 bilion untuk 'pesanan pukal' pembinaan LCS

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) membelanjakan sejumlah RM6 bilion untuk 'pesanan pukal' peralatan untuk membina kapal tempur pesisir (LCS). 

 

Ketua Pegawai Eksekutif LTAT, Ahmad Nazim Abdul Rahman berkata, 'pesanan pukal' itu dibuat melibatkan enam kapal dan ia dilihat lebih murah berbanding pembelian peralatan secara individu.

 

Beliau juga berkata, sebahagian besar daripada kontrak RM9 bilion diberikan kepada "reka bentuk asas dan reka bentuk terperinci" yang dijalankan oleh Naval Group, pemain utama dalam sektor tentera laut Perancis.

 

"(Sejumlah) RM9 bilion untuk enam kapal di bawah kontrak asal bermakna harga sebuah kapal adalah lebih kurang RM1.5 bilion,” katanya menerusi hantaran Facebook.

 

Nazim menegaskan, Mesir dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) membelanjakan hampir RM1.9 bilion untuk salah satu kapal LCS manakala Amerika Syarikat (AS) membina LCS mereka dengan harga RM2.4 bilion setiap satu kerana ia lebih maju.

 

Beliau turut mengesahkan bahawa pembinaan kapal berkenaan sedang dijalankan di limbungan Lumut.

 

Beliau terlibat secara langsung dalam merangka pelan pemulihan projek LCS bersama kementerian pertahanan dan tentera laut.

 

"Kapal-kapal ini sedang dibina serentak," katanya.

 

Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, LCS yang dibina oleh Boustead Naval Shipyard (BNS) akan siap dalam "sekurang-kurangnya satu atau dua tahun".

 

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sebelum ini mendedahkan, tiada satu kapal pun siap walaupun Putrajaya membelanjakan RM6 bilion untuk projek itu, yang diberikan kepada BNS melalui rundingan terus.

 

LTAT mempunyai 61% kepentingan dalam BNS.

 

PAC berkata, BNS telah mengabaikan pandangan tentera laut mengenai projek LCS.

 

Nazim berkata, projek LCS telah mewujudkan peluang pekerjaan kepada hampir 3,000 jurutera dan 400 vendor tempatan dalam pelbagai bidang.

 

Beliau berkata, sebahagian daripada wang yang dimaksudkan untuk kapal itu digunakan untuk membayar hutang yang ditanggung oleh syarikat terdahulu yang perlu ditampung oleh Boustead Holdings dan BNS selepas mengambil alih projek itu.

 

Nazim berkata, Kabinet memutuskan untuk meneruskan projek itu pada April selepas mempertimbangkan tiga pilihan.

 

"Salah satu pilihan ialah rancangan penstrukturan semula BNS, yang mengambil masa lapan bulan di pelbagai peringkat kerajaan," katanya. - DagangNews.com