Skip to main content

MAG bakal terima penghantaran Boeing 737 MAX bermula 2024

 

KUALA LUMPUR 5 Mei - Syarikat induk kepada Malaysia Airlines Berhad (MAB), iaitu Malaysia Aviation Group (MAG) bakal menerima penghantaran jet Boeing 737 MAX bermula 2024. 

 

Langkah itu diambil walaupun kumpulan itu merancang untuk menghentikan penerbangan Airbus A380 dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

 

Ketua Eksekutif kumpulan, Kapten Izham Ismail berkata, syarikat itu dilaporkan telah bersetuju dengan Boeing untuk menerima penghantaran tersebut dalam tempoh tiga hingga empat tahun bermula 2024.

 

Izham Ismail
Izham Ismail

 

“Kami komited untuk menerima penghantaran MAX pada tahun 2024, namun kami juga sedang meneroka kemungkinan untuk mengambilnya lebih awal,” katanya dalam satu taklimat secara maya, menurut laporan Reuters.

 

MAG pada awalnya dilaporkan menjadualkan penghantaran itu pada Julai tahun lalu, namun 737 MAX tidak digunakan selepas dua kemalangan dan beberapa syarikat penerbangan dan pemberi pajak membatalkan tempahan jet tersebut. 

 

Dalam pada itu, MAG juga sedang meneroka kaedah untuk melupuskan kapal terbang Airbus SE A380 walaupun kumpulan itu belum lagi membentangkan cadangan kepada Lembaga Pengarah.

 

“Kami menyedari cabaran untuk menjual kapal terbang ini, namun kami masih mencari kaedah dan cara untuk melupuskan kapal terbang 380. 

 

“Buat masa ini, pihak pengurusan yakin bahawa 380 tidak bersesuaian bagi perancangan masa hadapan,” tambah Izham.

 

Sebagai rekod, MAG menyasarkan hasil bukan penerbangan untuk meningkat dengan pantas sebanyak 60% kepada RM4 bilion menjelang tahun 2025.

 

Di bawah proses penstrukturan hutang, MAG menjelaskan bahawa kumpulan mempunyai simpanan dalam liabiliti bernilai RM15 bilion, dan sebanyak RM4.2 bilion menerusi pemotongan rangkaian dan penjimatan kos.

 

Dalam pada itu, kumpulan berkenaan juga akan melaburkan sejumlah suntikan modal sebanyak RM3.6 bilion daripada pemegang kepentingan terbesarnya, Khazanah Nasional Berhad bagi pertumbuhan syarikat penerbangan termasuk perniagaan digital, penyelenggaraan, pembaikan dan sebagainya. - DagangNews.com