MAHB dalam proses dapatkan semula hutang tertunggak daripada AirAsia X | DagangNews Skip to main content

MAHB dalam proses dapatkan semula hutang tertunggak daripada AirAsia X

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Malaysia Airports Holdings Bhd. menjelaskan perjanjian baru-baru ini dengan AirAsia Berhad dan Air Asia X Berhad untuk menghentikan prosiding undang-undang tidak berkaitan dengan tuntutan hutang kira-kira RM78 juta yang perlu dibayar dan terhutang daripada AirAsia X.

 

Menurutnya, jumlah itu telahpun dikompromi menurut perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 16 Disember 2021 yang meluluskan skim pengaturan AirAsia X untuk menyusun semula hutangnya.

 

Katanya, selaras dengan perintah Mahkamah Tinggi, MAHB kini dalam proses mendapatkan semula hutang tertunggak daripada AirAsia X sebagai pemiutang terjamin dalam skim prosiding.

 

"Kami ingin menjelaskan bahawa caj perkhidmatan penumpang (PSC) tertunggak yang perlu dibayar dan terhutang daripada AirAsia dan AirAsia X menurut penghakiman Mahkamah Tinggi bertarikh 18 Julai 2019, yang kemudiannya disahkan oleh Mahkamah Rayuan pada 3 Mac 2022, jumlah tertunggak penuh yang dituntut kira-kira RM41.5 juta telahpun dibayar oleh AirAsia dan AirAsia X kepada MAHB.

 

"PSC tertunggak selanjutnya yang telah terakru sejak itu, tidak diketepikan dan masih perlu dibayar dan terhutang berdasarkan prinsip yang dinyatakan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 


Baca : MAHB, Capital A capai kata sepakat gugur semua tindakan undang-undang 

 

Pada 10 Ogos lalu, MAHB, menerusi anak syarikatnya, Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd. (MAASB) dan Capital A Bhd. (sebelum ini dikenali sebagai AirAsia Group Bhd.) memutuskan untuk menghentikan prosiding undang-undang antara semua pihak.

 

Susulan itu, tiada lagi sebarang prosiding undang-undang atau litigasi material daripada MAHB terhadap AirAsia dan AirAsia X.

 

Namun, MAHB berkata, selain persetujuan bersama untuk menghentikan prosiding undang-undang, tidak ada perjanjian penyelesaian lain yang dibuat oleh kedua-dua pihak. 

 

Katanya, sebagai entiti peneraju dalam sektor penerbangan, resolusi yang baik boleh dilaksanakan berdasarkan muhibah dan kemesraan tanpa perlu menggunakan prosiding undang-undang, yang sepatutnya hanya digunakan dalam keadaan yang melampau.

 

"Seperti yang dinyatakan sebelum ini, MAHB komited untuk bekerjasama demi faedah dan kejayaan bersama semua pihak berkepentingan penerbangan iaitu syarikat penerbangan, lapangan terbang, penumpang dan industri.

 

"Kami akan memberi tumpuan kepada memulihkan dan merangsang kebangkitan perjalanan udara dan mendorong pertumbuhan dalam ekosistem penerbangan untuk industri dan negara," katanya. - DagangNews.com