Skip to main content

Mahkamah arah AirAsia X jumpa pemiutang dalam tempoh 180 hari

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia X Berhad diarahkan untuk mengadakan mesyuarat berasingan dengan kumpulan-kumpulan pemiutangnya dalam tempoh 180 hari.

 

Perkara itu diperintahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menetapkan tempoh pelaksanaan mesyuarat itu dari tarikh perintah dikeluarkan di bawah Sekyen 366 (1) Akta Syarikat 2016.

 

AirAsia X mengumumkan perkara berkenaan dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Namun, AirAsia X tidak mendedahkan tarikh perintah itu dikeluarkan. 

 

“Tertakluk kepada pemberi sewa pesawat perjanjian sewa dengan AirAsia X yang diperlakukan sebagai pemiutang tidak bercagar dan ditempatkan di dalam pemiutang Kelas B dan Airbus SAS diperlakukan sebagai pemiutang tidak bercagar untuk ditempatkan di kelas yang terpisah dari pemiutang Kelas B….

 

“....perintah untuk AirAsia X, antara lain, mengadakan mesyuarat pemiutang berasingan menurut Seksyen 366 (1) Akta Syarikat 2016 dalam masa 180 hari dari tarikh perintah dengan tujuan mempertimbangkan dan, jika difikirkan wajar, menyetujui dengan atau tanpa pengubahsuaian Cadangan Penstrukturan Hutang untuk dicadangkan oleh AirAsia X dan pemiutang,” jelas syarikat itu.

 

AirAsia X sebelum ini mencadangkan penggabungan hutang sebanyak AS$15.3 bilion dengan jumlah pokok RM200 juta manakala selebihnya diberi pengecualian. 

 

Baca : Penstrukturan hutang AirAsia X: Kreditor tiada pilihan lebih baik, kata CGS-CIMB

 

Dalam afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 November lalu, penstrukturan semula hutang itu menghapuskan 99.7% tuntutan tanpa menawarkan pegangan ekuiti kepada pemiutang. 

 

Baca : Penstrukturan semula AirAsia X memihak kepada Airbus - BOCA

 

Secara dasarnya pelan penstrukturan AirAsia X memerlukan kelulusan pemiutang yang memegang sekurang-kurangnya 75% daripada jumlah nilai hutang. - DagangNews.com