Majoriti peneroka sokong usaha pemulihan Felda termasuk pengambilalihan FGV | DagangNews Skip to main content

Majoriti peneroka sokong usaha pemulihan Felda termasuk pengambilalihan FGV

 

KUALA LUMPUR 30 Jan. - Felda menyifatkan bantahan pengarah bebas FGV terhadap tawaran pengambilalihan sebagai `janggal' kerana itulah pertama kali berlakunya situasi pengarah bebas sesebuah syarikat tidak sependapat dengan nasihat institusi kewangan yang dilantik sendiri oleh mereka.

 

Untuk rekod, dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, terdapat 13 buah syarikat tersenarai yang terlibat dalam tawaran saham mandatori atau sukarela. Dalam kesemua 13 transaksi tersebut, tiada percanggahan pendapat dan pengarah bebas telah menerima pendapat yang telah dikeluarkan oleh penasihat bebas yang mereka lantik.

 

Tawaran pengambilalihan Felda sebanyak RM1.30 sesaham adalah berasas kerana berdasarkan pendedahan dalam pekeliling nasihat bebas yang diterbitkan oleh RHB, seorang ahli lembaga pengarah FGV sendiri telah menjual 200,000 saham FGV beliau pada harga RM1.15 pada 10 Jun 2020 dan 500,000 lagi pada harga RM1.24 pada 19 November 2020 iaitu lebih rendah berbanding harga tawaran RM1.30 oleh Felda.

 

 

felda

 

Berikut adalah kenyataan media penuh Felda yang dihantar pada 8.16 malam 29 Januari 2021:

 

Felda mengambil maklum beberapa kebimbangan yang disuarakan berkaitan tawaran penjualan saham FGV yang dikeluarkan kepada pemegang-pemegang saham FGV.

 

Felda ingin menegaskan bahawa tawaran yang dikeluarkan ini adalah sebahagian daripada usaha pemulihan Felda. Usaha pemulihan ini bermula apabila Jemaah Menteri telah meluluskan Pelan Pemulihan Felda pada 14 Oktober 2020 seperti disarankan oleh Pasukan Petugas Khas Felda.

 

Pelan ini antara lain melibatkan Felda meningkatkan pendapatan teras daripada tanah Felda melalui kemungkinan penamatan perjanjian pajakan tanah (LLA) dan mengambil alih penguasaan kilang sawit berkaitan.

 

Pada 29 Oktober 2020, FGV Holdings telah mengeluarkan kenyataan bahawa anggaran pampasan akibat penamatan LLA adalah antara RM3.5 bilion hingga RM4.3 bilion. Ini jauh lebih tinggi daripada perkiraan Felda mengikut formula pampasan dalam perjanjian LLA.

 

Memandangkan jurang anggaran pampasan yang amat besar dan setelah mengambil kira nilai 63.4% saham yang belum dimiliki oleh Felda dan KPF adalah sekitar RM2.5 bilion (berdasarkan harga saham FGV RM1.08 ketika itu) iaitu lebih rendah daripada anggaran pampasan FGV, maka adalah lebih wajar jika Felda menguasai tanah LLA melalui penguasaan saham FGV pada kos yang lebih rendah/optimum.

 

felda

 

Ini juga bermakna Felda menguasai kilang sawit berkaitan pada waktu yang sama. Pada 8 Disember 2020, Felda telah mengumumkan pembelian 506.2 juta saham mewakili 13.88% pegangan saham FGV daripada KWAP dan Urusharta Jamaah pada harga RM1.30 sesaham berjumlah RM658 juta.

 

Ini meningkatkan pegangan saham Felda dan sekutunya (termasuk KPF) dalam FGV kepada 50.5% sekaligus mencetuskan tawaran mandatori terhadap baki saham yang belum dimiliki oleh Felda dan sekutunya.

 

Pembelian saham daripada KWAP dan Urusharta Jamaah telah selesai pada 22 Disember 2020 dan mengakibatkan tawaran am mandatori tersebut menjadi tidak bersyarat (unconditional). Harga tawaran RM1.30 sesaham adalah wajar kerana ia merupakan harga yang sama yang telah dirundingkan secara bebas dan profesional dengan KWAP dan Urusharta Jamaah yang melebihi harga pasaran. Ia juga melibatkan premium 15% berbanding nilai aset bersih sesaham FGV RM1.13.

 

Pada 30 Disember 2020, FGV telah mengumumkan pelantikan RHB Investment Bank sebagai penasihat bebas untuk menasihati pengarah bebas dan pemegang saham FGV sama ada tawaran saham oleh Felda adalah adil dan wajar (fair and reasonable).

 

felda rhb

 

Pada 22 Januari 2021, Penasihat Bebas RHB Investment Bank telah memberikan pendapat mereka bahawa harga tawaran RM1.30 adalah tidak adil tetapi WAJAR. Mereka menasihatkan pemegang saham MENERIMA tawaran Felda.

 

Walaubagaimanapun pengarah bebas FGV tidak bersetuju dengan pendapat RHB Investment Bank dan menasihatkan pemegang saham MENOLAK tawaran Felda. Perkara ini adalah janggal kerana inilah pertama kali pengarah bebas sesebuah syarikat yang bakal diambil alih bercanggah pendapat dengan penasihat bebas yang mereka sendiri lantik.

 

BACA JUGA : Tawaran harga saham tidak dipersetujui FGV

 

Untuk rekod, dalam tempoh tiga tahun sebelum ini, terdapat 13 buah syarikat yang tersenarai yang terlibat dalam tawaran saham mandatori atau sukarela. Dalam kesemua 13 transaksi tersebut, tiada percanggahan pendapat dan pengarah bebas telah menerima pendapat yang telah dikeluarkan oleh penasihat bebas yang mereka lantik.

 

Felda berpendapat harga tawaran RM1.30 adalah adil kerana:

  1. ia mewakili 10% premium keatas harga terakhir RM1.18 sebelum notis tawaran perolehan dikeluarkan.
     
  2. ia mewakili 15% premium keatas harga purata RM1.13 yang telah diniagakan dalam jangkamasa setahun sebelum notis tawaran dikeluarkan.
     
  3. ia adalah 15% lebih tinggi berbanding RM1.13 nilai aset bersih FGV pada 30 September 2020.
     
  4. ia adalah 49% lebih tinggi berbanding RM0.87 nilai aset ketara bersih (NTA) FGV pada 30 September 2020.

 

Kewajaran harga tawaran RM1.30 juga adalah berasas kerana berdasarkan pendedahan dalam pekeliling nasihat bebas yang diterbitkan oleh RHB, seorang ahli lembaga pengarah FGV sendiri telah menjual 200,000 saham FGV beliau pada harga RM1.15 pada 10 Jun 2020 dan 500,000 lagi pada harga RM1.24 pada 19 November 2020 iaitu lebih rendah berbanding harga tawaran RM1.30 oleh Felda.

 

Setakat 28 Januari 2021, Felda telah berjaya menguasai 60% saham FGV. Dengan sokongan pemegang saham yang lain termasuklah dari kalangan peneroka dan warga Felda, penguasaan ke atas FGV akan terus meningkat.

 

felda

 

Pengambilalihan FGV oleh Felda adalah suatu langkah penting dalam Pelan Pemulihan Felda yang telah diluluskan oleh Kerajaan demi manfaat warga Felda. Ia dibuat pada terma yang munasabah dan tidak melibatkan kepentingan peribadi mana-mana pihak.

 

Sesi penerangan juga telah dilaksanakan secara virtual kepada Ahli Jawatankuasa Perunding Peneroka, Majlis Belia Felda Malaysia, Kami Anak Felda, pengurusan wilayah dan rancangan Felda, kakitangan serta pesara Felda untuk membolehkan mereka memahami kepentingan usaha yang dijalankan ini dan dapat disampaikan kepada warga peneroka. Semuanya demi kepentingan 112,638 peneroka dan 2 juta warga besar Felda. - DagangNews.com

 

Lagi berita-berita Felda di DagangNews.com:

FELDA SKOR HAT-TRICK MINGGU INI

Felda hampir memiliki FGV

Kembalikan FGV kepada Felda - kata Peneroka