Majuperak terima kelulusan beli vaksin untuk syarikat swasta di Perak | DagangNews Skip to main content

Majuperak terima kelulusan beli vaksin untuk syarikat swasta di Perak

 

KUALA LUMPUR 26 Julai - Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) memberi kelulusan kepada Majuperak Holdings Bhd (MHB) untuk memimpin pembelian vaksin bagi Program Vaksin Perak (PVP).

 

Menerusi PVP di bawah MHB yang dikenali sebagai SilverVax, bekalan vaksinasi tersebut akan disediakan buat syarikat swasta yang mahu memperoleh dan menyediakan vaksinasi kepada tenaga kerja serta ahli keluarga mereka, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MHB, Nizran Noordin.

 

“Syarikat swasta yang bersasar ini kebanyakannya kecil, sederhana dan korporat besar dalam industri pembuatan, perladangan, perkhidmatan dan hartanah. 

 

Nizran Noordin
 Nizran Noordin

 

“Vaksinasi ini akan dilakukan di Hospital Ar-Ridzuan di Ipoh, bermula Ogos 2021 dan pusat-pusat vaksinasi lain yang telah dikenal pasti dengan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF),” katanya dalam satu kenyataan, seperti dilaporkan New Straits Times

 

Kata beliau, langkah berkenaan akan memudahkan usaha kerajaan negeri untuk mempercepatkan proses vaksinasi bagi mencapai imuniti kelompok dengan meningkatkan pengedaran vaksin kepada kumpulan bersasar di Perak.

 

MHB difahamkan telah menandatangani perjanjian bekalan dan pengedaran vaksin COVID-19 Sinovac dengan Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd (PLS) yang merupakan anak syarikat kepada Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga).

 

Dalam pada itu, MHB juga telah melantik dan mengesahkan Hospital Ar-Ridzuan sebagai pengedar vaksin bagi pihak syarikat-syarikat swasta di Perak. 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, memandangkan rakyat Malaysia menantikan peralihan ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN), maka adalah penting untuk memastikan bahawa tenaga kerja Perak memenuhi syarat vaksinasi 40%.

 

Redza Rafiq Abdul Razak
Redza Rafiq Abdul Razak

 

“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Pharmaniaga untuk mengedarkan vaksin Sinovac yang akan mempercepatkan proses vaksinasi dengan pandangan untuk membuka semula aktiviti ekonomi sejejar protokol PPN,” katanya.

 

MHB juga sedang memuktamadkan perincian dengan EB Holdings Sdn Bhd bagi memperoleh vaksin Sinopharm dari Duopharma Biotech Berhad dan memastikan bekalan yang mampan untuk mencapai imuniti kelompok di negeri itu.

 

Perolehan vaksin itu bagaimanapun tertakluk kepada kelulusan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV) dan sejajar peningkatan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). - DagangNews.com