Maklumkan TNB jika rumah atau premis dinaiki air banjir | DagangNews Skip to main content

Maklumkan TNB jika rumah atau premis dinaiki air banjir

 

KUALA LUMPUR 18 Dis - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan orang ramai agar segera memaklumkannya melalui talian TNB CareLine di 15454 atau Facebook TNB CareLine sekiranya premis mereka dinaiki air pada paras bahaya supaya bekalan elektrik dapat dihentikan.

 

Penutupan bekalan elektrik itu adalah bersifat sementara bagi memastikan keselamatan orang awam terjamin dan akan disambung semula apabila banjir surut dan keadaan kembali selamat.

 

Dalam pada itu, usaha sedang giat dijalankan TNB bagi memastikan bekalan elektrik di berapa kawasan yang terlibat dengan banjir kilat akibat hujan berterusan seperti di Klang, dapat dipulihkan semula.

 

Penyaluran semula bekalan akan dibuat secara berperingkat bergantung kepada akses, keadaan setempat dan faktor keselamatan.

 

Bagi megelakkan sebarang kejadian tidak diingini dari berlaku, pengguna diminta mengamalkan beberapa panduan keselamatan elektrik berikut:


• Apabila premis dinaiki air, hindari penggunaan sebarang peralatan elektrik dan pastikan suis utama ditutup bagi mengurangkan kemungkinan renjatan elektrik berlaku;



• Jangan menyentuh mana-mana peralatan atau kabel elektrik yang terendam dalam air banjir walaupun ianya bersalut dengan penebat;

 

• Sekiranya perlu berpindah, sebelum berpindah, matikan bekalan masuk utama di papan agihan dengan menutup suis utama;

 

• Pastikan semua suis di soket alir keluar ditutup dan tanggalkan palam kuasa peralatan elektrik;

 

• Sekiranya premis dipasang dengan sistem solar PV, matikan sistem tersebut sebelum anda keluar dari rumah bagi mengelakkan bekalan suap balik ke sistem pendawaian rumah anda;

 

• Hindari daripada menyentuh mana-mana tiang besi yang ditenggelami air bagi mengelak risiko terkena renjatan elektrik.

 

Pengguna juga disarankan untuk menghubungi TNB sekiranya ternampak kejanggalan pada pepasangan syarikat utiliti itu yang terkesan akibat banjir. - DagangNews.com