Malayan Flour Mills nafi syarikat usaha samanya terlibat dalam kartel ayam | DagangNews Skip to main content

Malayan Flour Mills nafi syarikat usaha samanya terlibat dalam kartel ayam

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Malayan Flour Mills Bhd (MFM) menafikan dakwaan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bahawa syarikat usaha samanya, Dindings Poultry Development Centre Sdn. Bhd. (DPDC) melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 dengan terbabit perjanjian antipersaingan atau lebih dikenali sebagai perjanjian kartel.

 

Ia menyifatkan pengumuman oleh MyCC itu dibuat dengan sewenang-wenangnya dan unilateral, tanpa sebarang merit atau asas.

 

"Oleh itu, syarikat menafikan sekeras-kerasnya dakwaan 'pelanggaran tanpa merit' tersebut dan berhasrat mempertahankan dakwaan tidak berasas itu dengan bersungguh-sungguh," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Menurutnya, DPDC akan menyemak perkara itu dengan penasihat undang-undang luarnya dan mengemukakan representasi bertulis dalam tempoh yang ditetapkan dan membuat representasi lisan di hadapan MyCC.

 

"MyCC dalam kenyataan akhbarnya bertarikh 5 Ogos 2022 menekankan bahawa penemuannya adalah sementara dan tidak boleh diandaikan bahawa mana-mana perusahaan telah melanggar undang-undang pada peringkat ini," jelasnya. 

 

Baca : MyCC : 5 pengeluar makanan ayam naikkan harga dikesan langgar Akta Persaingan 2010 

 

Selain DPDC, 4 lagi syarikat dikesan melanggar Akta Persaingan 2010 iaitu FFM Bhd., Gold Coin Feedmills (Malaysia) Sdn. Bhd., Leong Hup Feedmill Malaysia Sdn. Bhd. dan PK Agro-Industrial Products (M) Sdn. Bhd. 

 

Leong Hup Feedmill Malaysia ialah anak syarikat milik penuh Leong Hup International Bhd. manakala FFM ialah anak syarikat milik 80% PPB Group.

 

Sementara itu, Gold Coin Feedmills (M) Sdn. Bhd. adalah anak syarikat di bawah Gold Coin Group dan PK Agro-Industrial Products (M) Sdn. Bhd. di bawah CP Malaysia.

 

Hasil siasatan yang dijalankan menunjukkan syarikat berkenaan menaikkan kuantum harga makanan ayam yang mengandungi kacang soya dan jagung sebagai bahan utamanya, di antara awal 2020 sehingga pertengahan 2022.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail berkata, makanan ayam adalah penyumbang utama kepada kos penternakan ayam iaitu kirakira 72.8% daripada jumlah kos keseluruhan. 

 

Katanya, apabila persaingan dimanipulasi dalam pasaran makanan ayam, keseluruhan bekalan rantaian dalam industri akan terjejas terutamanya pengguna, yang berada di hujung rantaian bekalan ini.

 

Susulan itu, dalam makluman berasingan petang Jumaat lalu, Leong Hup International Bhd. dan PPB Group Bhd. berkata, dakwaan MyCC terhadap anak syarikat masing-masing adalah tanpa merit, dan akan bertindak balas kepada MyCC dalam masa ditetapkan untuk mempertahankan anak syarikat mereka terhadap dakwaan berkenaan. - DagangNews.com