Malaysia catat 1.1 bilion transaksi bayaran masa nyata bagi 2021 - ACI Worldwide | DagangNews Skip to main content

Malaysia catat 1.1 bilion transaksi bayaran masa nyata bagi 2021 - ACI Worldwide

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Jun - Malaysia mencatatkan 1.1 bilion transaksi pembayaran masa nyata pada 2021, sekali gus membantu menjimatkan kos yang dianggarkan AS$434 juta untuk perniagaan dan pengguna, serta menjana pengeluaran ekonomi tambahan sebanyak AS$364 juta, bersamaan dengan 1.11% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

 

Ia juga pasaran masa nyata ke-5 paling pesat berkembang di seluruh dunia, dengan Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) sebanyak 26.9%: Malaysia memperlihatkan kepantasan yang luar biasa dalam pelaksanaan pembayaran masa nyata di seluruh negara, serta penerapan yang pantas dalam kalangan peserta bank dan bukan bank.

 

Menurut edisi ketiga Prime-Time for Real Time 2022, Malaysia terus memacu penerapan pembayaran masa nyata dan memperkenalkan perkhidmatan moden, menjadikannya antara pasaran pembayaran masa nyata paling canggih di dunia. 

 

Laporan berkenaan diterbitkan oleh ACI Worldwide dengan kerjasama GlobalData, sebuah syarikat data dan analitik terkemuka, serta Pusat Kajian Penyelidikan Ekonomi dan Perniagaan (Cebr).

 

Cebr meramalkan transaksi pembayaran masa nyata akan berkembang pada 3.6 bilion pada 2026, iaitu CAGR sebanyak 26.9%, dengan penjimatan bersih untuk pengguna dan perniagaan dijangka akan mencecah AS$637 juta pada 2026, sekali gus menjana output ekonomi tambahan sebanyak AS$954 juta, atau 0.2% daripada KDNK.

 

Menurut laporan itu, perkembangan pembayaran masa nyata Malaysia adalah pantas, unik dan canggih, kerana ia merangkumi penerapan pantas yang dibina atas transaksi bernilai rendah, evolusi pantas ke arah perkhidmatan lebih canggih dengan nilai tambahan, serta kerajaan yang bertekad menyokong penerapannya.

 

Sebahagian besar kejayaan negara adalah hasil kerjasama padu antara kerajaan, bank pusat, sistem pertukaran National Switch, dan industri untuk memodenkan infrastruktur pembayaran masa nyata negara dan mengharmonikan struktur pembayaran negara.

 

 

Dengan merangkumi kajian impak ekonomi buat julung kalinya, ia menawarkan pandangan menyeluruh tentang manfaat ekonomi pembayaran masa nyata terhadap pengguna, perniagaan dan ekonomi merentasi 30 negara. Laporan itu meliputi semua negara G20, kecuali Rusia.

 

 

 

aci
Chee Cheng Ong

 

 

Perkembangan pembayaran masa nyata di Malaysia bermula pada Disember 2018, susulan kemunculan sistem pembayaran masa nyata baharu, DuitNow, yang diperkenalkan oleh rangkaian pembayaran nasional dan penyedia infrastruktur pusat, PayNet. 

 

Laporan itu turut meramalkan bahawa peningkatan kesedaran pengguna, trend mengutamakan pembayaran mudah alih, serta pelbagai perkhidmatan dan ciri DuitNow, akan menghasilkan pertumbuhan volum pembayaran masa nyata pada CAGR sebanyak 26.9% dari tahun 2021 hingga 2026.

 

Naib Presiden dan Ketua ASEAN ACI Worldwide, Chee Cheng Ong berkata, Malaysia menjadi contoh terbaik kepada negara-negara ASEAN tentang cara untuk mewujudkan, menyelaraskan dan memacu penggunaan rangkaian pembayaran masa nyata moden. 

 

"Dengan berlandaskan rangkaian pembayaran masa nyatanya pada ISO 20022, ia pantas menjadi antara persekitaran pembayaran masa nyata yang paling harmoni dan canggih di dunia, serta landasan paling ideal untuk memacu penerapannya, dan menyediakan pelbagai perkhidmatan nilai tambahan yang baharu," katanya. - DagangNews.com