Malaysia diiktiraf salah sebuah negara paling berjaya tangani COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Malaysia diiktiraf salah sebuah negara paling berjaya tangani COVID-19

Malaysia diiktiraf sebagai salah sebuah negara yang paling berjaya di dunia dalam menangani wabak COVID-19.

KUALA LUMPUR 6 Julai - Walaupun Malaysia tidak pernah mempunyai pengalaman mengendalikan kes pandemik besar, namun negara ini telah diiktiraf sebagai salah sebuah negara yang paling berjaya di dunia dalam menangani wabak COVID-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kejayaan tersebut didorong oleh usaha sama semua pihak bermula dari peringkat kerajaan sehingga masyarakat. 

"Kita bersyukur kerana Malaysia telah dapat melalui satu tempoh masa yang amat mencabar iaitu untuk menangani wabak COVID-19 yang telahpun melanda dunia dan Malaysia tidak terkecuali.

"Kesemuanya ini kerana adanya usaha bersungguh-sungguh kita bersama-sama, baik di peringkat kerajaan mahupun rakyat jelata, menguruskan secara bijaksana, tegas dan berani membuat keputusan yang segera dan tepat untuk menentukan wabak penyakit ini tidak menular dalam kalangan masyarakat," katanya.

Perdana Menteri mula melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 hingga 31 Mac bagi mengekang penularan jangkitan pandemik berkenaan yang dilihat kian meningkat. 

Kesemua operasi perniagaan dan syarikat-syarikat diarahkan tutup sehingga ekonomi Malaysia merosot disusuli kadar pengangguran meningkat secara mendadak.

Setakat 12 tengah hari semalam, kes kumulatif yang dicatatkan di Malaysia ialah sebanyak 8,663 dengan 121 kematian, dan kes aktif hanya 77. - DagangNews.com