Malaysia diunjur catat pertumbuhan 5.7% tahun ini, raih manfaat daripada harga komoditi - Juwai IQI | DagangNews Skip to main content

Malaysia diunjur catat pertumbuhan 5.7% tahun ini, raih manfaat daripada harga komoditi - Juwai IQI

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Ekonomi Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 5.7% tahun ini, dengan meraih manfaat daripada kenaikan harga komoditi, eksport yang lebih tinggi, pelaburan langsung asing dan pemulihan permintaan domestik. 

 

Kesan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine terhadap harga tenaga global juga telah memberi manfaat kepada Malaysia, yang merupakan pengeluar minyak dan gas kedua terbesar di Asia Tenggara dan pengeksport bersih, demikian menurut laporan Prospek Ekonomi Suku Ketiga 2022 : Negara Utama Asia Tenggara (Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam) + Australia yang dikeluarkan Juwai IQI.

 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, ekonomi utama Asia Tenggara berkemungkinan akan mengatasi ekonomi bagi negara maju pada separuh kedua 2022.

 

Menurutnya, trend ekonomi utama semuanya memihak atau sekurang-kurangnya tidak menimbulkan ancaman kepada ekonomi Asia Tenggara seperti Malaysia, Thailand, Singapura dan Filipina.

 

Sementara itu, Eropah dan Amerika Utara menghadapi cabaran yang lebih serius dengan inflasi, dolar yang kukuh, kesan kenaikan kadar faedah, penurunan kadar pertumbuhan dan potensi berlakunya kemelesetan.

 

"Bagi Malaysia, ia dijangka merekodkan pertumbuhan KDNK sebenar mencecah 5.7% tahun ini, kedua selepas Filipina, antara negara dalam laporan ini. 

 

"Pelaburan langsung asing juga kukuh, dengan menarik RM27.8 bilion pada suku pertama 2022, menurut Kementerian Industri Perdagangan Antarabangsa," katanya. 

 

 

Kashif Ansari
Kashif Ansari

 

 

Sektor pembuatan turut menyumbang sebahagian besar kepada pelaburan, yang akan meningkatkan kapasiti dan membolehkan Malaysia menguasai tambahan bahagian pasaran.

 

Pelaburan asing mendapat manfaat daripada trend kadar pertukaran yang menyaksikan ringgit mengalami kerugian 6% berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) setakat tahun ini dan turun 13% daripada paras tertinggi pada 2018 berbanding mata wang utama itu.

 

Kashif menyifatkan, ia adalah sebahagian daripada tarikan kepada pasaran hartanah Malaysia yang telah memikat pelabur asing kembali ke pasaran.

 

Laporan itu mendapati inflasi dijangka meningkat 3.2% tahun ini sebelum menyederhana kepada 2.8% pada 2023.

 

Permintaan domestik dan pendapatan isi rumah juga meningkat, kerana kadar pengangguran semakin menurun ke tahap sebelum pandemik.

 

Selepas mencecah tahap tinggi 4.8% pada 2020, kadar pengangguran diunjur 3.6% tahun ini dan semakin menurun kepada 3.4% pada 2023 dan menghampiri 3.2%.

 

Sempadan yang dibuka semula sudah memberi kesan kepada pasaran hartanah dan industri pelancongan.

 

 

gambar hiasan

 

 

Subsidi makanan dan bahan api serta beberapa sekatan eksport membantu memerangi inflasi, tetapi pasaran pekerjaan yang lebih tinggi dan kenaikan gaji minimum memberikan tekanan menaik.

 

Selain itu, kenaikan indeks harga pengguna juga dijangka kembali menurun kepada 3.2% tahun ini dan seterusnya kepada 2.8% pada 2023.

 

Dalam pada itu, menurut Kashif, Bank Negara Malaysia (BNM) mula mengetatkan kadar dasar semalaman (OPR) pada Mei daripada sangat akomodatif pada 1.75% kepada 2.25%.

 

Katanya, bank-bank di negara ini juga telah mengambil langkah dengan meningkatkan kadar pinjaman asas sehingga 5.9% setahun.

 

"Walaupun langkah ini menyaksikan peningkatan daripada paras luar biasa rendah yang berlaku sejak dua tahun lalu, namun kadar faedah masih kekal rendah setakat ini.

 

"Kami percaya ekonomi dan pasaran hartanah memiliki momentum yang cukup untuk menyerap peningkatan secara perlahan tanpa jatuh dalam kitaran menurun," katanya. -DagangNews.com