Malaysia jadi salah satu wilayah Google Cloud di Asia Pasifik | DagangNews Skip to main content

Malaysia jadi salah satu wilayah Google Cloud di Asia Pasifik

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Google Cloud, sistem perkomputeran awan yang ditawarkan oleh Google LLC mengumumkan rancangan untuk menambah wilayah awan di Malaysia bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk perkhidmatan di Asia Pasifik. 

 

Malaysia akan menjadi antara tiga negara tambahan, selain Thailand dan New Zealand, untuk menyertai enam wilayah Google Cloud lain yang diumumkan sebelum ini, iaitu Berlin, Dammam, Doha, Mexico, Tel Aviv, dan Turin.

 

Bagaimanapun, Google tidak memperincikan di kawasan mana wilayah itu akan ditempatkan di Malaysia.

 

Apabila ia dilancarkan, wilayah baharu ini akan menyertai 34 wilayah awan Google yang sedang beroperasi di seluruh dunia, 11 daripadanya berada di Asia-Pasifik, dan Google mendakwa mereka sedang menyampaikan “perkhidmatan berprestasi tinggi” yang dijalankan pada “awan terbersih dalam industri”.

 

Naib Presiden Google Cloud Asia-Pasifik, Karan Bajwa berkata, wilayah baharu di Malaysia, Thailand dan New Zealand akan membantu pelanggan untuk terus mendayakan pertumbuhan dan menyelesaikan masalah perniagaan mereka yang paling kritikal.

 

"Kami akan bekerjasama dengan pelanggan kami untuk memastikan kawasan itu bersesuaian dengan keperluan mereka.

 

"Kawasan awan baharu ini mewakili komitmen berterusan kami untuk menyokong transformasi digital di seluruh Asia-Pasifik,” katanya.

 

Bajwa menyatakan bahawa Google akan terus melabur dalam mengembangkan ketersambungan ke seluruh rantau dengan bekerjasama dengan rakan kongsi dalam industri telekomunikasi untuk mewujudkan kabel dasar laut — termasuk Apricot, Echo, JGA South, INDIGO dan Topaz — dan tempat kehadiran di bandar utama.

 


Sementara itu, International Data Corp (IDC) menjangkakan jumlah perbelanjaan perkhidmatan awan di Asia Pasifik tidak termasuk Jepun akan mencecah AS$282 bilion (RM1.26 trilion) menjelang 2025. - DagangNews.com