Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 29 Mac – Malaysia kini dapat mengeksport minyak sawit merah ke China selepas negara itu mengumumkan pelaksanaan Standard Minyak Sawit Merah China pada 1 Mac lalu.
Oleh itu, pembeli dari China dibenarkan untuk mengimport minyak sawit merah dari Malaysia dengan menyebut spesifikasi dalam standard itu.
Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr. Ahmad Parveez Ghulam mengesahkan perkara itu dalam sebuah kenyataan hari ini.
“Standard yang baru diumumkan itu membenarkan import minyak sawit merah tanpa halangan yang berkuat kuasa mulai 1 Mac 2021,” katanya.
Jelas Ahmad Parveez, standard itu adalah hasil daripada penglibatan pihak berkepentingan dan kerjasama dua hala yang luas antara MPOB dan pihak berkuasa China.
Sebelum ini, minyak sawit merah tidak dibenarkan masuk ke China kerana spesifikasi warna dalam Standard Minyak Sawit China yang sedia ada ditetapkan pada maksimum 3.0 merah.
Sebilangan besar minyak sawit merah yang dihasilkan di Malaysia dikesan berwarna merah 7.0 dan ke atas.
Pada tahun 2014 dan 2015, MPOB menjalankan program intervensi dengan Universiti Lanzhou untuk membantu memerangi kekurangan vitamin A dalam kalangan 2,000 kanak-kanak sekolah di Wilayah Gansu.
Usaha itu dilaksanakan melalui penggunaan minyak sawit merah yang mengandungi karotena semula jadi, pro-vitamin A dan antioksidan yang kuat.
"Program ini secara berkesan membantu mengurangkan masalah kekurangan vitamin A dalam kalangan kanak-kanak daripada 21.6% kepada 6.1% setelah intervensi selama enam bulan dan MPOB berbangga dengan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat yang dijalankan bersama dengan Persatuan Pemakanan Cina," tambah Ahmad Parveez.
Selain itu, MPOB melalui pejabat wilayahnya di Shanghai, China iaitu Institut Penyelidikan dan Perkhidmatan Teknikal Kelapa Sawit MPOB (PORTSIM China) bersama-sama dengan pemain industri tempatan dan institusi penyelidikan telah membangunkan makanan dan makanan haiwan yang diformulasikan dengan minyak sawit merah.
“Kami berharap pengeksport Malaysia dapat memanfaatkan peluang keemasan ini untuk menjual minyak minyak sawit merah berkhasiat dan premium ke China, sebuah pasaran pelbagai segmen dengan pelbagai pengguna di seluruh dunia,” ujarnya.
Selain minyak sawit merah, China juga mengumumkan pelaksanaan rasmi Standard Hampas Kelapa Sawit China. – DagangNews.com