Malaysia perlukan RM200 bilion tambah baik infrastruktur air negara - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

Malaysia perlukan RM200 bilion tambah baik infrastruktur air negara - CGS CIMB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Sept. - Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) menekankan keperluan mendesak untuk meningkatkan pelaburan di dalam sektor air melibatkan peruntukan perbelanjaan modal (capex) jangka panjang kira-kira RM200 bilion, menurut penganalisis di CGS-CIMB Research, Sharizan Rosely. 

 

Namun, kata Sharizan, pelaksanaan Mekanisme Penetapan Tarif Air (TSM) yang tertangguh menjadi punca utama inisiatif infrastruktur air dilaksanakan dengan perlahan. 

 

TSM merupakan komponen bersepadu dalam model capex air yang dijangka dapat meningkatkan aliran tunai pengendali air negeri bagi menanggung pembayaran sewa tambahan yang berkaitan capex air dilaksanakan oleh PAAB.

 

“Menggambarkan tunggakan capex air, PAAB menekankan bahawa berdasarkan peruntukan infrastruktur air yang diluluskan sebanyak RM10.7 bilion pada akhir Jun 2021, hanya 52% atau RM5.6bn diberikan sejak awal tahun hingga setakat ini (YTD).

 

“Bagi senario pemulihan pasca pandemik, PAAB menekankan keperluan untuk mentransformasi industri air dalam jangka masa panjang dan keperluan untuk mengejar sektor swasta bagi mendapatkan pembiayaan capex air yang lebih mampan. Ini menambah baik TSM.

 

“Beberapa cadangan atau pertimbangan dasar termasuk menyelaraskan kelulusan projek antara kementerian dan agensi kerajaan serta pengendali air negeri, mempromosi pelaburan infrastruktur yang berjaya kepada dana simpanan atau pencen, dan meniru model pembiayaan yang berjaya dari industri air yang setanding di rantau ini,” kata Sharizan dalam satu nota penyelidikan. 

 

Beliau optimis, tetapi berhati-hati bahawa pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) mungkin mendedahkan beberapa inisiatif positif melibatkan sektor air, terutamanya dari segi pemberian capex yang disokong oleh keputusan kerajaan mengenasi TSM. 

 

Ujar Sharizan, langkah ini positif buat perbelanjaan kerajaan bagi infrastruktur utiliti di mana telah menyaksikan trend menurun sejak sedekad lalu.

 

“Menurut Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), kira-kira RM280 bilion jumlah pembangunan capex diperlukan untuk menambah baik infrastruktur air negara bagi memastikan bekalan yang mampan dalam tempoh jangka masa panjang. 

 

“Namun, perancangan capex secara keseluruhannya setakat ini, dihadkan oleh isu pembiayaan,” jelas beliau lanjut.

 

Bagi menangani isu tersebut, Sharizan melihat pembiayaan alternatif boleh diteroka, seperti Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) yang telah memainkan peranan penting dalam pembiayaan projek infrastruktur. - DagangNews.com