Malaysia sertai Indonesia bawa kes minyak sawit ke WTO | DagangNews Skip to main content

Malaysia sertai Indonesia bawa kes minyak sawit ke WTO

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Jun - Malaysia akan bertindak sebagai pihak ketiga dalam kes Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) berasingan yang difailkan Indonesia, pengeluar minyak sawit terbesar dunia, sebagai tanda solidariti dan sokongan berhubung isu serangan kempen anti minyak sawit dari Barat.

 

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, Malaysia tidak mempunyai pilihan selain bertindak balas terhadap tuduhan tidak berasas yang berterusan itu.

 

"Walaupun kita tahu bahawa proses undang-undang ini adalah mahal dan bakal mengambil masa yang lama sebelum penyelesaian dapat dicapai. Namun kita perlu mempertahankan hasil komoditi negara.

 

"Tindakan undang-undang ini memerlukan persediaan yang rapi dan teliti. Hal ini kerana, dokumen-dokumen yang diperlukan untuk penghujahan memerlukan penyelidikan yang teliti serta perbincangan berjam-jam dalam kalangan panel yang ditugaskan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Zuraida, industri minyak sawit dan produk berkaitan pada masa ini menjadi penyumbang utama kepada hasil ekonomi negara serta memainkan peranan penting dalam mengurangkan kemiskinan luar bandar dengan menyediakan pekerjaan dan penambahbaikkan infrastruktur.

 

Beliau berkata, untuk melindungi peranan penting itu, Malaysia telah menentang tuduhan berniat tidak berasas ini melalui pendekatan 'rundingan secara berdiplomasi' (soft consultancy). 

 

"Imej negatif minyak sawit mula terbentuk di Eropah sejak 2003 dan ia berkisar isu berkaitan kemampanan industri tetapi ia kini telah beralih kepada aspek nutrisi minyak sawit. 

 

 

zuraida
Datuk Zuraida Kamaruddin

 

 

"Amalan semasa yang digunakan di Perancis dan Belgium dengan pelabelan 'tiada minyak sawit' atau 'bebas minyak sawit', telah mula dikesan sejak tahun 2008 lagi, ia apabila rangkaian runcit Perancis iaitu Carrefour mula menggantikan minyak sawit dalam kerepek kentang dengan minyak bunga matahari.

 

"Tindakan menyasarkan minyak sawit dengan kempen pemasaran dan pelabelan 'tanpa minyak sawit' itu secara tidak langsung telah membentuk pemikiran pengguna bahawa minyak sawit adalah tidak baik daripada segi nutrisi atau alam sekitar, atau kedua-duanya," katanya.

 

Beliau berkata, pada 2019, Kesatuan Eropah (EU) telah mengklasifikasikan minyak sawit sebagai tanaman yang berisiko tinggi untuk perubahan guna tanah secara tidak langsung, yang menyumbang kepada anggapan berlakunya penebangan hutan dan kehilangan biodiversiti.

 

"Negara-negara anggota EU kini menggunakan “European Union Renewable Energy Directive II” dalam perundangan mereka masing-masing. Klasifikasi ini akan memberi kesan kepada minyak sawit sebagai sumber biofuel yang berpotensi, memandangkan penggunaannya akan dikurangkan secara beransur-ansur mulai 2023 sebelum 'dihapuskan sepenuhnya' sebagai sumber biofuel EU pada 2030.

 

"Isu ini telah menyebabkan Malaysia mengambil tindakan undang-undang terhadap EU dan dua ahlinya Perancis dan Lithuania pada 15 Januari 2021 di bawah Mekanisme Penyelesaian Pertikaian WTO.

 

"Ini berlaku selepas EU meneruskan pelaksanaan arahan itu tanpa mengambil kira komitmen dan pandangan Malaysia, walaupun kita telah memberi maklum balas dan menghantar misi ekonomi dan teknikal ke Eropah," katanya.

 

Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan terus memantau dengan teliti sebarang perkembangan terkini dari sudut perundangan EU yang berpotensi mencemarkan reputasi minyak sawit, sekali gus menjejaskan daya saing dan industri minyak sawit di Malaysia. 

 

"Setakat ini tiada sekatan lain dikenakan oleh EU terhadap minyak sawit. Bagaimanapun kempen anti-minyak sawit yang dilakukan negara-negara barat telah menjejaskan imej minyak sawit di mata pengguna di Eropah untuk tempoh jangka masa sederhana hingga jangka masa panjang.

 

Katanya, sebagai pengeluar minyak sawit utama dunia, Malaysia dan Indonesia telah berdepan selama lebih dua dekad dengan pelbagai kempen anti-minyak sawit yang dimainkan oleh negara-negara barat hingga telah menjejaskan pasaran minyak sawit dan produk-produk berkaitan.

 

"Jika kita tidak menghentikan kempen fitnah ini secara sistematik dan strategik, ia boleh menjejaskan daya saing eksport minyak sawit Malaysia dalam jangka masa panjang akibat persepsi negatif dari negara-negara barat terhadap minyak sawit.

 

"Saya menyeru semua rakyat Malaysia untuk bangkit bersama KPPK mempertahankan minyak sawit negara di mata dunia," katanya. - DagangNews.com