Malaysia seru pemain industri sokong agenda angkasa negara - KJ | DagangNews Skip to main content

Malaysia seru pemain industri sokong agenda angkasa negara - KJ

Gambar Facebook Khairy Jamaluddin

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 April - Malaysia mengalu-alukan penyertaan pemain industri yang diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk menyokong cita-cita negara dalam memanfaatkan ekonomi angkasa yang berkembang pesat.

 

Ini sejajar unjuran sekurang-kurangnya 0.3% sumbangan sektor angkasa terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seterusnya mewujudkan 500 pekerja berkemahiran tinggi menjelang 2030.

 

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, sektor angkasa mempunyai potensi dalam menyumbang kepada ekonomi Malaysia, dibantu oleh kedudukan negara di khatulistiwa.

 

“Teknologi angkasa termasuk penderiaan jauh satelit, telekomunikasi dan navigasi memberikan penyelesaian yang luas untuk isu global dan tempatan semasa termasuk pendidikan, keselamatan makanan, pertanian, tenaga, pengurusan bencana dan kesihatan, serta melawan COVID-19.

 

“Menyedari potensi besar (sektor angkasa) untuk pembangunan negara, Malaysia mewujudkan Dasar Angkasa Negara 2030 (NSP 2030) pada tahun 2017 dan melancarkan Program Penerokaan Angkasa 2030,” kata beliau dalam rakaman ucapan pada Webinar Airbus Malaysia secara maya hari ini.

 

Semalam, Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) telah menetapkan sasaran bagi sektor angkasa untuk menyumbang kira-kira 0.3% atau RM3.2 bilion kepada KDNK menjelang 2030.

 

Agensi itu juga menyasarkan sektor angkasa untuk menjadi tiga teratas dalam penyelidikan dan pembangunan di Asia Tenggara dengan 50% berdikari dalam teknologi angkasa, menurut Ketua Pengarah MYSA, Azlikamil Napiah.

 

NSP 2030 yang dilancarkan pada 2019, kini dalam proses membangunkan dua kluster.

 

Ini termasuk segmen pengguna, yang menumpukan kepada sistem, penciptaan permintaan, perkongsian kepakaran serta data terbuka dan segmen permukaan yang merangkumi perkhidmatan rangkaian serta pengaturcaraan pemerolehan data. - DagangNews.com