Malaysia suarakan kebimbangan terhadap perubahan berterusan dalam standard minyak sawit mampan | DagangNews Skip to main content

Malaysia suarakan kebimbangan terhadap perubahan berterusan dalam standard minyak sawit mampan

KUALA LUMPUR 17 Mei - Malaysia menyuarakan kebimbangannya terhadap standard penanda aras yang sentiasa berubah dan sukar untuk dipatuhi terutamanya bagi pekebun kecil ketika negara berusaha  untuk menangani aspek kemampanan dan menepis persepsi negatif dan tuduhan yang dilemparkan terhadap minyak sawit, kata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

 

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, sebagai contoh bagi Persatuan Perdagangan Bebas Indonesia-Eropah, Indonesia menggunakan Rundingan Meja Bulat bagi Kelestarian Minyak Sawit Mampan (RSPO)  dan Pensijilan Kemampanan dan Karbon Antarabangsa (ISCC) sebagai penanda arasnya yang mana kedua-duanya menggunakan standard lebih maju yang sentiasa disemak semula, terutamanya RSPO.

 

RSPO dan ISCC adalah penanda aras yang ditetapkan oleh Kesatuan Eropah (EU). 

 

“Standard baharu, termasuk pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) tidak akan dapat mencapai paras yang sama kerana apabila ia mencapai paras tersebut, RSPO akan berubah sekali lagi dan menjadi lebih ketat. 

 

“Adalah tidak adil untuk menggunakan standard itu sebagai penanda aras. Juga memandangkan RSPO adalah bagi perniagaan kepada perniagaan dan memerlukan yuran keahlian tahunan dan kos pengauditan yang tinggi, amat sukar bagi pekebun kecil untuk menyertai RSPO, dan kini peratusan pekerbun kecil yang diperakui RSPO dilihat sangat kecil,” katanya. 

 

Selain itu, beliau berkata, perubahan berterusan standard RSPO dan keperluan pematuhan akan menjadikannya lebih mahal dari semasa ke semasa dan menjadikannya standard mampan yang tidak mampan kerana ia akan menyebabkan minyak sawit hilang daya saingnya bagi tempoh jangka panjang.

 

Ahmad Parveez pada Isnin membentangkan pandangannya pada forum hibrid bertajuk: “Trade Agreements and Product Demands” (Perjanjian Perdagangan dan Permintaan Produk) yang dianjurkan oleh Institut Perdagangan Dunia (WTI) yang berpangkalan di Bern, Switzerland; Institut Kajian Malaysia & Antarabangsa (IKMAS, UKM) dan Kursi Endownmen MPOB-UKM.

 

Forum itu bertujuan untuk menghimpunkan pengawal selia, industri, masyarakat sivil dan komuniti saintifik bagi mencerminkan realiti setiap hari - cabaran dan peluang, dalam semua aspek  daripada perspektif pembangunan mampan, dan bagi  menyediakan saluran yang kritikal tetapi membina untuk bertukar-tukar pandangan dan aspirasi.

 

“Negara-negara maju juga perlu mengiktiraf standard nasional seperti MSPO kerana ketika ini tiada petunjuk bahawa standard-standard ini diiktiraf oleh mereka kerana mereka terus merujuk kepada standard yang lebih maju dan ketat. 

 

“Mereka perlu lebih terbuka untuk melihat dan menghargai sumbangan lain, terutamanya semasa rundingan,” katanya. 

 

Ahmad Parveez menggesa EU untuk tidak melihat hanya kepada penebangan hutan semata-mata  tetapi juga kepada usaha-usaha lain yang dilaksanakan oleh industri di sini dan perlu diiktiraf terutamanya bagi aspek kemampanan lain dan memelihara simpanan tanah. 

 

“Memandangkan komitmen kita terhadap kemampanan, Malaysia bersetuju secara sukarela untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45% menjelang 2030 dan menumpukan untuk meningkatkan produktiviti dan hasil dan bukannya meluaskan tanah,” katanya. 

 

Beliau menyatakan bahawa Malaysia telah mengulangi komitmen yang dibuat pada Sidang Kemuncak Rio pada 1992 untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50% daripada kawasan tanah di bawah perlindungan hutan. Kawasan di bawah litupan hutan di Malaysia adalah 58.3% pada 2019.

 

Dengan pengeluaran 3.16 tan metrik sehektar, minyak sawit hanya menggunakan 23.45 juta hektar tanah (jumlah di Malaysia dan Indonesia digabungkan) berbanding dengan pengeluaran 0.45 tan metrik sehektar minyak kacang soya daripada 129.15 juta hektar tanah (jumlah digabungkan melibatkan Brazil, Argentina, Amerika Syarikat), 0.78 tan metrik minyak biji sesawi dari 32.47 juta hektar tanah (jumlah digabungkan melibatkan China, Kanada, Kesatuan Eropah) dan 0.76 tan metrik minyak bunga matahari daripada 28.1 juta hektar tanah (jumlah digabungkan melibatkan Kesatuan Eropah, Rusia, Ukraine).

 

Beliau meluahkan harapan bahawa piawaian MSPO 2.0 baharu yang disemak semula dan pematuhan lain undang-undang negara dan antarabangsa yang berkaitan dengan kemampanan, standard produk dan kesejahteraan sosial akan membantu Malaysia memperoleh akses pasaran lebih besar dengan peluang yang lebih luas dan diterima di peringkat global.

 

Secara kolektif terdapat hampir empat juta petani pekebun kecil kelapa sawit di Indonesia dan Malaysia termasuk pendatang asing yang bekerja sementara secara kontrak dari rantau Asia.

 

Selama beberapa dekad, industri itu telah membantu membantu jutaan orang keluar dari kepompong kemiskinan.

 

Di peringkat nasional, industri minyak sawit masing-masing menyumbang antara 2.0% dan 4.0% daripada  Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Indonesia dan Malaysia, menjadikan sektor itu sebagai keutamaan kerajaan dalam menyumbang kepada pembangunan mampan.

 

Sementara itu, Pengarah Bahagian Alam Sekitar dan Kelestarian Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Dr Ruslan Abdullah berkata, beberapa negara telah kembali beralih kepada minyak sawit dan telah menerima beberapa piawaian yang ditetapkan oleh MSPO kerana mereka menyedari perniagaan semakin sukar terutamanya disebabkan oleh perang di Ukraine.

 

“Sesetengah negara tidak tegas dalam proses mendapatkan minyak sawit mampan yang diperakui, selagi mereka boleh mendapatkan produk itu dengan mudah.

 

"Nasihat saya kepada negara pengeluar minyak sawit adalah untuk bekerjasama dan bukannya menjauhkan diri, ia tidak akan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh industri tersebut," katanya.

 

Ketua Bahagian Perdagangan Dunia di Sekretariat Negara Switzerland bagi Hal Ehwal Ekonomi, Duta Besar Markus Schlagenhof pula berkata, ada beberapa inisiatif dan pelaksanaan akan dibuat susulan ikrar yang dibuat oleh 143 kerajaan pada Persidangan Perubahan Iklim PBB (COP26) yang diadakan di Glasgow tahun lepas untuk menghentikan kemusnahan hutan dan memulihkannya menjelang tahun 2030.

 

"Kita perlu meningkatkan sokongan dan terus bekerjasama untuk menjayakannya," katanya.

 

Negara-negara Asia Tenggara, seperti Indonesia, Malaysia dan Thailand merupakan pengeluar minyak sawit terbesar di dunia. Indonesia dan Malaysia menyumbang hampir 80% daripada pengeluaran minyak sawit global.

 

Dieksport ke pasaran di seluruh dunia, negara-negara Eropah mengimport kira-kira 8.2 juta tan minyak sawit dari Indonesia, Malaysia dan Thailand.

 

Minyak sawit dan derivatifnya digunakan secara meluas dalam pelbagai jenis makanan dan produk pengguna - daripada biskut dan coklat, kepada sabun dan produk kosmetik.

 

Di Eropah minyak sawit juga digunakan sebagai biobahan api untuk sektor pengangkutan.

 

Bagaimanapun, beberapa tahun lalu menyaksikan kritikan yang semakin meningkat mengenai kesan negatif minyak sawit yang didakwa, sering dikaitkan dengan pembukaan dan pembersihan tanah, penebangan hutan dan ancaman kepada hidupan liar, lapor Bernama.

 

Dan baru-baru ini pula, terdapat perbincangan mengenai pencabulan hak buruh, termasuk buruh paksa dan buruh kanak-kanak yang melibatkan pendatang dan pekerja ladang di Malaysia dan Indonesia. - DagangNews.com