Malaysia-UK perkukuh hubungan perdagangan melalui jawatankuasa bersama | DagangNews Skip to main content

Malaysia-UK perkukuh hubungan perdagangan melalui jawatankuasa bersama

Jawatankuasa Bersama Kerjasama Perdagangan dan Pelaburan Dua Hala (JCBTIC).

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Nov. - Malaysia dan United Kingdom (UK) mencapai kejayaan dalam hubungan dua hala dengan mewujudkan Jawatankuasa Bersama Kerjasama Perdagangan dan Pelaburan Dua Hala (JCBTIC).

 

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, jawatankuasa tersebut adalah sebagai platform untuk memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala antara kedua-dua negara tersebut.

 

"Langkah proaktif itu juga adalah untuk memastikan kelestarian kerjasama perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan UK di tengah wabak COVID-19.

 

"Pertemuan sulung JCBTIC yang dijalankan secara maya semalam diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Hairil Yahri Yaacob.

 

"Pertemuan itu turut dipengerusikan bersama oleh Pesuruhjaya Perdagangan bagi Asia Pasifik, Jabatan Perdagangan Antarabangsa UK, Natalie Black," jelas MITI dalam satu kenyataan hari ini.

 

Turut hadir dalam mesyuarat berkenaan ialah Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, H.E Charles Hay, pegawai kanan pelbagai kementerian, agensi dan jabatan dari kedua-dua negara serta wakil sektor swasta.

 

Dalam ucapan perasmian semalam, Hairil menekankan bahawa jawatankuasan itu adalah tepat pada masanya untuk membincangkan peningkatan kerjasama perdagangan dan pelaburan sekali gus memudahkan perniagaan rentas sempadan.

 

"Jawatankuasa Bersama itu menyediakan jalan dan membuka lebih banyak pintu untuk perbincangan peringkat pemimpin hingga lebih banyak perniagaan dari kedua-dua negara dapat memperkuat kerjasama di samping membina kerjasama baharu," ujarnya.

 

Mesyuarat JCBTIC berjaya mewujudkan kerangka kerja bersama untuk hubungan dua hala yang diperbaharui dan mengesahkan beberapa bidang kerjasama utama termasuk Pendidikan; Penilaian Standard dan Kesesuaian; Pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS); Perkhidmatan Industri dan Perundangan Halal.

 

UK adalah rakan dagang global ke-19 Malaysia selain menjadi destinasi eksport ke-18 dan sumber import ke-19 negara. 

 

Pada 2019, jumlah perdagangan Malaysia dengan UK meningkat 5.3% kepada RM16.45 bilion berbanding tahun 2018.

 

Bagaimanapun, dalam tempoh sembilan bulan pertama 2020, jumlah perdagangan dengan UK susut 2.6% kepada RM11.9 bilion berbanding tempoh sama 2019 susulan impak wabak.

 

Dalam aspek pelaburan pula, UK merupakan pelabur asing ke-9 terbesar di Malaysia dengan jumlah 467 projek pembuatan, bernilai RM10.16 bilion selain mewujudkan 39,338 peluang pekerjaan - DagangNews.com