Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Irsyad - 20 May 2022

Manfaat Besar Rumah Terbuka di bulan Syawal  

 

 

 

SAMBUTAN Hari Raya tahun ini menjadi lebih istimewa dengan pengumuman kelonggaran SOP COVID-19 yang menandakan peralihan dari era pandemik ke era endemik.

 

Selama lebih dua tahun, masyarakat di Malaysia dan seluruh dunia diuji dari pelbagai sudut yang menyebabkan terpaksa membuat penyesuaian yang sukar dari segi norma sosial dan agama untuk membendung penularan COVID-19.

 

 

irsyad

 

 

Rumah terbuka atau ‘open house’ di sepanjang bulan Syawal sudah menjadi kelaziman dan kebiasaan untuk diadakan sempena meraikan perayaan Hari Raya Aidilfitri.

 

Peringkat penganjuran rumah terbuka dapat dilihat samada peringkat ahli keluarga, rakan sekerja, institusi-institusi kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), parti politik dan sebagainya.

 

Terdapat pelbagai manfaat dan kebaikan disebalik penganjuran rumah terbuka yang boleh diperoleh oleh masyarakat Islam.

 

1. Berpeluang melakukan ziarah-menziarahi

Amalan ziarah adalah sangat baik dan dituntut oleh Islam kerana boleh menghubungkan silaturrahim dan saling berkasih sayang.

 

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang melawat orang yang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah maka nanti akan diseru dengan kata-kata : engkau akan dapat kebaikan, perjalanan engkau akan dipermudahkan dan akan disediakan tempat untuk kau di syurga.” (Riwayat al-Tirmizi: no.2008)

 

Selain itu, Nabi SAW juga bersabda yang bermaksud: “Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju.Apabila lelaki itu sudah mendekat malaikat itu bertanya : ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu : aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata : Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepada?. Lelaki itu berkata : Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah Azza Wa Jalla. Malaikat itu berkata : Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantara kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim: no.6714)

 

Hadis di atas menjelaskan bahawa jika seseorang itu menziarahi dan mencintai saudaranya kerana Allah SWT, pasti akan menjadi sebab untuk mendapat cinta dari Allah SWT pula.

 

Sementara itu, tuan rumah yang menjemput dan menganjurkan rumah terbuka pula perlu bersikap meraikan dan memuliakan tetamu yang hadir.

 

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat makan jangan sakiti jirannya. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka muliakanlah tetamunya. Juga sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka berkatalah dengan perkataan yang baik atau hendaklah dia diam.” (Riwayat al-Bukhari: no.6136)

 

Namun, amalan berziarah tidak hanya dikhususkan pada bulan Syawal sahaja tetapi  perlu diamalkan secara berterusan apabila ada kelapangan.

 

 

raya

 

 

2. Saling bermaafan di atas kesilapan dan kesalahan lalu

Peluang saling bermaafan bersempena hari perayaan adalah masa yang sangat baik.

 

Allah SWT menganjurkan seorang muslim untuk memaafkan orang lain yang berbuat salah kepadanya. Pemaaf adalah salah satu sifat milik orang yang bertakwa, selain sifat suka bersedekah dan menahan amarah (sabar).

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit, orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali Imran: 134)

 

Sikap memaafkan tidak hanya sekadar dinyatakan secara lisan, namun perlu disertai dengan berlapang dada dan ikhlas tanpa ada keinginan untuk membalas kejahatan yang sudah dilakukan oleh orang lain tersebut.

 

3. Menggalakkan bersedekah menjamu para tetamu yang hadir

Sebenarnya untuk menjadikan konsep makan ini berpahala, sewajarnya perlu rajin memberi makanan kepada orang lain.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Nabi Ibrahim yang dimuliakan? Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: "Salam sejahtera kepadamu!" Ia menjawab: Salam sejahtera kepada kamu! "(Sambil berkata dalam hati): mereka ini orang-orang yang tidak dikenal. Kemudian ia masuk mendapatkan Ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: Silalah makan." (Surah al-Dzariyat: 24-27)

 

Ayat tersebut merakamkan perbuatan Nabi Ibrahim AS menyambut dan melayan tetamu yang hadir ke rumahnya walaupun baginda tidak mengenali orang yang datang ke rumahnya itu. Baginda tidak tahu yang datang itu adalah malaikat namun tetap melayannya.

 

Seterusnya, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Hai orang ramai. Sebarkanlah salam, berilah makan, sambunglah silaturrahim dan solatlah di waktu malam ketika mana manusia sedang tidur. Nescaya kamu dapat masuk Syurga dengan sejahtera dan selamat.” (Riwayat al-Tirmizi: no.2485)

 

 

irsyad

 

 

Demikianlah manfaat dan kebaikan yang boleh dilihat dan diperoleh melalui penganjuran rumah terbuka yang sudah menjadi tradisi dalam masyarakat Islam di Malaysia. - DagangNews.com

 

DR. AZRI BHARI adalah Ahli Jawatankuasa Wakaf dan Zakat, Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk)

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD

Portfolio Tags