Masih Ada Saham Yang Menguntungkan Dalam Ketidakstabilan Ekonomi
DUNIA memang pasti akan mengingati tahun 2020. Tahun 2020 adalah dinantikan oleh banyak pihak kerana kita sering mengetahui sejak dari dahulu bahawa tahun 2020 adalah tahun yang mengambarkan sasaran yang baik bagi negara khususnya yang mana dahulu kita meletakkan tahun 2020 untuk Malaysia menjadi negara maju menerusi Wawasan 2020.
Namun sebaliknya yang berlaku apabila dunia dikejutkan dengan satu wabak penyakit yang hampir melumpuhkan ekonomi dunia. Sehingga kini lengkungan gelombang COVID-19 masih belum dapat diratakan di Malaysia khususnya. Langkah pertama yang Malaysia ambil untuk mengawal COVID-19 ketika semua pihak panik ialah dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Hal ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada ekonomi dan pasaran saham.
Rata-rata masyarakat, perniagaan mahupun pelabur merasakan kesukaran dan cabaran dalam mengagahi cabaran ekonomi serta mendapat peluang yang baik dalam pasaran saham. Secara keseluruhannya, pasti pasaran saham juga terkesan dengan apa yang berlaku. Banyak kaunter saham menjunam jatuh bermula pada Mac 2020.
Di penghujung tahun 2020, terdapat sedikit proses pemulihan pasaran saham di Malaysia. Terdapat kaunter-kaunter saham yang menunjukkan prestasi yang baik dan boleh mendatangkan keuntungan yang baik kepada pelabur-pelabur.
Kaunter saham Cymoa Holdings umpamanya, mencatatkan kenaikan sehingga 222.50 peratus dalam tempoh sebulan. Harga saham ini berharga RM 0.40 pada 1 Disember 2020 dan meningkat sehingga RM1.29 pada 31 Disember 2020. Ini satu kenaikan yang tinggi dan menunjukkan masih terdapat peluang yang baik kepada pelabur pasaran saham untuk meraih keuntungan dalam pasaran saham.
Selain itu, saham Puncak Niaga Holding juga mencatatkan kenaikan sebanyak 116.28 peratus di mana harga saham ini pada 1 Disember 2020 ialah RM0.215 dan meningkat kepada 0.465 pada 31 Disember 2020. Saham Melewar Industrial Group, Yong Tai, Lion Industries Corporation, Toyo Ventures Holdings dan Awanbiru Technology (Pestariang) antara saham yang mencatat kenaikan melebih 100 peratus dalam tempoh sebulan.
Ini membuktikan banyak saham yang mempunyai prestasi yang baik di penghujung tahun 2020 dan boleh diberi perhatian para pelabur untuk tahun 2021 ini. Saham-saham seperti Mycron Steel, YKGI Holding dan Sarawak Cable juga mencatatkan kenaikan yang baik bagi tempoh 1 Disember 2020 hingga 31 Disember 2020 di mana masing-masing mencatatkan 94.20 peratus, 91.30 peratus dan 90.38 peratus.
Sepuluh saham patuh syariah pada penghujung tahun 2020 mencatatkan prestasi sangat baik yang boleh memberi pulangan bagus walaupun kita sedar keadaan ekonomi yang masih dalam proses pemulihan.
Dalam ketidaktentuan ekonomi dan politik negara selepas pengumuman darurat, PERMAI dan PKP 2.0, masih terdapat peluang yang baik dalam pasaran saham.
Dengan kenaikan jumlah pesakit COVID-19 pada gelombang ketiga ini, pastinya, saham-saham berasasakan kesihatan akan berkembang dan mencatatkan prestasi yang baik.
Syarikat yang membekalkan sarung tangan dan produk kesihatan pastinya mempunyai permintaan yang tinggi dan seterusnya membawa prestasi syarikat yang baik dan harga saham yang baik dan stabil.
Sebagai contoh, saham Carepls pada awal Mac 2020, harga sesaham adalah RM0.215 dan pernah mencapai tahap tertinggi pada Ogos tahun lalu dengan harga mencecah sehingga RM5.83 sesaham.
Ini menunjukkan jumlah pulangan sebanyak 2611 peratus dan kini saham ini berharga RM 2.46. Saham ini melonjak naik apabila permintaan pelitup muka dan sarung tangan getah melonjak kesan dari pandemik.
Dalam keadaan semasa, di mana Kerajaan Malaysia dijangka akan melaksanakan Pelan Imunisasi Kebangsaan pada 1 Mac ini dan pastinya saham seperti seperti Pharmaniaga Berhad (PHARMA), Duopharma Biotech Berhad (DPHARMA) dan Bintai Kinden Corporation Berhad (BINTAI) akan menunjukan prestasi yang baik dan boleh diberi perhatian oleh pelabur.
Walaupun PKP 2.0 masih berjalan, masih ada sektor yang dibenarkan beroperasi seperti sektor produk dan perkhidmatan industri yang merupakan sektor ekonomi penting yang melibatkan industri pengilangan dan pembuatan serta pembinaan.
Justeru, saham seperti Malaysia Steel Works Berhad (MASTEEL), Melewar Berhad and Annjoo Resources Berhad juga boleh diberi perhatian oleh pelabur-pelabur untuk meraih keuntungan daripada saham-saham ini.
Analisis dari CGS-CIMB Securities Sdn Bhd menyifatkan tahun ini akan menjadi tahun lebih baik untuk pasaran ekuiti tempatan berikutan pemulihan ketara pendapatan korporat, sekali gus menyaksikan pertambahan jumlah mudah tunai.
Menurut firma penyelidikan itu, kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS) juga bakal mengundang kehadiran semula pelabur asing yang berminat dengan pasaran negara berkembang pesat, termasuk Malaysia, selain dapat melonjakkan pulangan di pasaran saham tempatan. - DagangNews.com
SYAMSYUL SAMSUDIN adalah seorang pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.
KOLEKSI VOLATILITI
Kestabilan Monetari Bagi mengukuhkan Ringgit
PERMAI: suntikan fiskal bantu rakyat, rancakkan ekonomi
5 Strategi utama pulihkan negara pada 2021
Masihkah relevan January Effect ke atas pasaran saham
Menyusun semula ekuiti bumiputera dalam pelaburan institusi
Selamat tinggal kemeruapan dan ketidakpastian pasaran saham 2020