Menyusun Semula Ekuiti Bumiputera Dalam Pelaburan Institusi
Pelabur institusi adalah entiti yang menyatukan wang untuk membeli sekuriti, harta, tanah dan aset pelaburan lain. Pelabur institusi ini termasuk bank, syarikat insurans, atau syarikat-syarikat yang melabur modal berlebihan dalam jenis-jenis asset ini.
Pelabur institusi dilihat sebagai peserta yang berpengaruh dalam pasaran modal. Menurut laporan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, pelabur institusi ini secara kolektifnya memiliki pegangan saham sekitar 40% hingga 60% di dalam sesebuah syarikat.
Secara asasnya, pelabur institusi ini banyak memainkan peranan dalam menentukan pergerakan harga-harga saham di Malaysia. Walaupun bagaimanapun, isu pelaburan institusi di Malaysia dalam kalangan bumiputera adalah satu isu yang masih dibincangkan sehingga hari ini.
Menyorot kembali sejarah 1970, Dasar Ekonomi Baru (DEB) meletakkan sasaran pemilikan ekuiti bumiputera sebanyak 30% untuk dicapai. Melihat kepada sejarah, ekonomi bumiputera pada zaman British berasaskan dasar pecah dan perintah yang mana segala aktiviti ekonomi adalah untuk manfaat penjajah, kaum China dan India bekerja dalam industri yang dimiliki oleh syarikat milik Inggeris manakala bumiputera mengusahakan pertanian atau diberi peluang dalam perkhidmatan awam.
Walaupun dasar ini dilihat tidak menindas kaum bumiputera secara kekerasan, hakikatnya, kaum bumiputera disisih dari corak kegiatan ekonomi. Sedikit sebanyak landskap ekonomi bumiputera masa kini masih dipengaruhi daripada dasar ini yang mengganggu ke atas fungsi, struktur sosial, perkembangan ekonomi dan cara hidup kaum bumiputera.
Data terkini menunjukkan kadar pemilikan ekuiti adalah sekadar 16% sahaja. Kadar ini masih jauh untuk digapai semenjak 50 tahun yang lalu. Pemilikan ekuiti bumiputera ini dari setahun ke setahun semakin menurun. Senario ini mendorong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa kebimbangan dan kerisauan. Menurut beliau, bumiputera makin ketinggalan dalam ekonomi negara dengan pemilikan ekuiti merosot kerana kemiskinan serta pengangguran pula lebih tinggi berbanding kaum lain.
Secara perbandingan, insiden kemiskinan bumiputera pula adalah 7.2% pada tahun lepas berbanding kaum Cina (1.4%) dan India (4.8%) manakala kadar pengangguran bumiputera adalah 3.7% pada tahun 2019 berbanding purata nasional iaitu 3.3%.
Kerajaan terus merangka pelan dan tindakan dalam usaha menyusun semula kedudukan ekuiti Bumiputera dalam pelaburan institusi. Pelbagai pelan tindakan telah dirangka oleh kerajaan melalui Majlis Kemakmuran Bumiputera 2030 (MKB 2030) sebagai platform tertinggi dalam memperkasa pembangunan sosio-ekonomi bumiputera secara bersepadu.
Kini kerajaan meletakkan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) sebagai agensi utama pembangunan sosio-ekonomi Bumiputera. TERAJU menjadi penyelaras tunggal bagi pangkalan data Bumiputera merentas kementerian, agensi dan syarikat berkaitan dengan kerajaan (GLC).
Selain itu, kerajaan terus memperkukuhkan peranan agensi-agensi tertentu dalam usaha memperkukuhkan sosio-ekonomi Bumiputera melalui pelbagai agensi seperti Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan TEKUN. Dengan tindakan yang bersepadu yang telah diambil oleh kerajaan baru-baru ini, diharapkan ia mampu untuk meningkatkan semula pemilikan ekuiti bumiputera dalam pelaburan institusi.
Selain usaha kerajaan dalam meningkatkan semula pemilikan ekuiti bumiputera dalam pelaburan institusi, institusi milik bumiputera sepenuhnya juga dilihat boleh membantu usaha ini.
Menurut Profesor Dr. Jamal Othman dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tabung Haji (TH) sebagai institusi kewangan Islam utama di Malaysia juga perlu melihat semula fungsinya, dengan turut merangkumkan aspek pemilikan ekuiti bagi membangunkan ekonomi Bumiputera.
TH dilihat berkesan dalam mengurus simpanan atau dana penyimpan untuk tujuan menunaikan ibadah haji. Dalam perkembangan dan dinamik semasa, TH perlu melihat semula fungsi dan peranan tradisinya. TH boleh memperluas fungsi untuk merangkumkan aspek pemilikan ekuiti dan kekayaan umat termasuk pendekatan wakaf. Selain pemilikan wakaf, trend pemilikan Bumiputera secara langsung dalam sektor hartanah terutama di kawasan strategik perlu dipantau dan dipertingkatkan, dan pendekatan wakaf oleh institusi pelaburan bukan konvensional juga dilihat mampu membawa peranan ini.
Dalam situasi semasa, krisis ekonomi global berikutan pendemik, pergolakan perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China yang masih belum berpenghujung dan ditambah dengan konflik AS dan Iran selepas pembunuhan Jeneral Qasem Soleimani yang menyebabkan ketidaktentuan ekonomi global.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menyusut 17.1% daripada pertumbuhan marginal 0.7% pada suku pertama 2020 dan prestasi ini merupakan KDNK paling rendah direkodkan sejak suku tahun keempat pada tahun 1998. Kesukaran bagi negara memulihkan semula ekonomi sekali gus, mengheret cabaran meningkatkan ekuiti bumiputera dalam pelaburan institusi di Malaysia.
Diharapkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) yang dicanang oleh Kerajaan mampu mencapai pemilikan ekuiti Bumiputera sebanyak 30% pada tahun 2030 dengan mengambil kira pemilikan ekuiti semasa yang hanya 16%.
Kadar ekonomi yang berkembang secara purata sebanyak 5% juga memerlukan bumiputera meningkatkan kadar perkembangan pemilikan aset dengan kadar peningkatan sebanyak 7.3% setiap tahun.
Semoga semua strategi WKB 2030 ini dipacu dengan baik bagi memastikan sasaran kali ini akan tercapai dengan baik. Biarlah sejarah DEB itu menjadi teladan buat kita semua untuk bangkit mencapai kejayaan yang lebih baik, ibarat setelah roboh kota Melaka, Putrajaya kita dirikan! - DagangNews.com
SYAMSYUL SAMSUDIN adalah seorang pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.
KOLEKSI VOLATILITI
Selamat Tinggal Kemeruapan dan Ketidakpastian Pasaran Saham 2020