Masih berdepan risiko gangguan rantaian bekalan, HLIB semak turun penarafan Westports | DagangNews Skip to main content

Masih berdepan risiko gangguan rantaian bekalan, HLIB semak turun penarafan Westports

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Sept. - Firma penyelidikan, HLIB Research menyemak turun penarafan saham Westports Holdings Berhad daripada ‘beli’ kepada ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) diturunkan kepada RM4.67 daripada RM4.95.

 

Penganalisisnya, Nazira Abdullah berkata, walaupun kesesakan perkarangan pelabuhannya telah berkurangan, namun pihak pengurusan kumpulan menjangkakan keadaan itu akan berterusan sehingga tahun hadapan selain masih bimbang terhadap gangguan rantaian.

 

Kata beliau, Westports menjangkakan jumlah muatannya pada suku ketiga tahun kewangan 2021 (3QFY21) akan berkurangan kira-kira 10%, ditambah pula dengan kesesakan pelabuhan yang dihadapi oleh kumpulan buat masa ini. 

 

“Namun, impak perolehan dijangka terhad memandangkan kesesakan itu telah melonjakkan perkhidmatan yang bernilai tambah seperti kotak simpanan dan reefer, dan agak mengurangkan perbelanjaan operasi daripada ketidakcekapan perkarangan dan penggunaan pelabuhan lebih rendah,” jelas beliau dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

 

Menurut Nazira, kesesakan itu difahamkan berlaku ekoran kotak-kotak ditinggalkan lama disebabkan oleh pandemik yang menjejaskan rantaian bekalan di peringkat global susulan penguatkuasaan pelbagai sekatan pergerakan.

 

Westports menjangkakan keadaan itu akan berlarutan sekurang-kurangnya satu hingga dua tahun lagi ekoran kebanyakan negara mungkin menguatkuasakan perintah berkurung sekiranya terdapat lonjakan kes.

 

Dari segi prospek pelan pengembangan Westports 2, Nazira berkata, HLIB kekal optimis terhadap rancangan tersebut tetapi ia berpotensi mencairkan keuntungan dalam jangka masa sederhana ini. 

 

Unjuran itu dibuat berdasarkan risiko kewangan yang meningkat daripada jangkaan yuran konsesi dan susut nilai caj atau perbelanjaan faedah lebih tinggi menjelang permulaan CT10 dan CT11. 

 

“Dalam pada itu, kami kekal berhati-hati terhadap kesesakan perkarangan sekiranya terus berlanjutan memandangkan margin mungkin menerima tekanan dengan kecekapan perkarangan berkurangan dan kos tenaga buruh meningkat ditambah kos bahan api lebih tinggi. 

 

“Namun, kami terus suka Westports kerana model perniagaan kelestarian jangka panjangnya, pendapatan yang berkembang daripada pertumbuhan Pelabuhan Klang yang berterusan, dipacu oleh kelebihan kedudukan geografi,” ujar Nazira. - DagangNews.com