Maybank IB kekal positif terhadap sektor minyak dan gas negara | DagangNews Skip to main content

Maybank IB kekal positif terhadap sektor minyak dan gas negara

KUALA LUMPUR 4 Dis - Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) mengekalkan pendirian positif terhadap sektor minyak dan gas (O&G) Malaysia selepas Petronas meraih keuntungan yang lebih baik tahun ke tahun sejajar dengan prestasi rakan setara globalnya.

 

Firma penyelidikan itu dalam satu catatan berkata, keuntungan bersih teras Petronas meningkat 76 peratus suku ke suku  kepada RM13 bilion pada suku ketiga 2021, menjadikan pendapatan teras terkumpul sembilan bulan kepada RM27 bilion, peningkatan sebanyak 148 peratus tahun ke tahun.

 

Ia menyatakan bahawa pengukuhan dalam tempoh suku ke suku turut mencerminkan landskap pasaran yang bertambah baik, dengan harga minyak Brent meningkat sebanyak 7.0 peratus (suku ke suku) kepada AS$74 setong selain pemulihan dalam permintaan.

 

“Prospek bagi ganjaran risiko Petronas juga bertambah baik dan ini petanda baik bagi penyedia perkhidmatan O&G dan kerajaan. Disiplin modal akan kekal penting berikutan ketidaktentuan pasaran dan peningkatan kos.

 

"Tinjauan aktiviti akan datang untuk tahun 2022 hingga 2024 akan terus diteliti, kerana ia akan menawarkan pandangan tentang rancangan domestiknya," katanya, lapor Bernama.

 

Maybank IB turut mengekalkan pendirian "beli" terhadap Yinson, Dialog, Velesto, WSC, MMHE, BArmada dan Icon sebagai saham pilihannya.

 

Sementara itu, AmInvestment Bank Bhd (AmInvest) mengekalkan saranan '’overweight'’ ke atas sektor O&G.

 

Ia juga mengekalkan unjuran harga minyak bagi tahun 2021 hingga 2022 pada AS$70 hingga AS$75 setong memandangkan harga minyak mentah Brent telah jatuh daripada paras tertinggi tujuh tahun AS$85 setong pada pertengahan Oktober tahun ini kepada di bawah AS$70 setong berikutan kebimbangan yang impak varian Omicron COVID-19 mungkin sekali lagi boleh menjejaskan permintaan global.

 

“Walaupun pemberian vaksin global semakin meningkat, kami agak bimbang dengan kemunculan varian virus baharu, kemungkinan minyak mentah Iran memasuki semula pasaran global, lantunan semula dalam pengeluaran syal AS serta kelonggaran selanjutnya kuota pengeluaran Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC),” tambahnya. - DagangNews.com