Maybank nafi dakwaan hadapi masalah kewangan besar ekoran pendedahan kepada Genting Hong Kong | DagangNews Skip to main content

Maybank nafi dakwaan hadapi masalah kewangan besar ekoran pendedahan kepada Genting Hong Kong

KUALA LUMPUR 24 Jan - Malayan Banking Bhd. (Maybank) menegaskan dakwaan bahawa ia akan berdepan masalah kewangan yang besar ekoran pendedahan kepada Genting Hong Kong adalah tidak berasas. 

 

"Berkenaan dengan pertanyaan mengenai artikel berita terkini yang menyatakan Maybank adalah antara 3 bank Malaysia yang akan menghadapi masalah kewangan yang besar akibat pendedahan kepada Genting Hong Kong, Maybank ingin menyatakan dengan tegas bahawa dakwaan ini adalah tidak berasas," katanya dalam maklum balas bertulis berhubung isu berkenaan seperti dilapor Bernama hari ini.

 

Sebelum ini, dilaporkan bahawa keuntungan 3 bank di Malaysia, termasuk Maybank, akan menerima kesan besar apabila masalah menimpa pengendali pelayaran Genting Hong Kong, yang menjadi mangsa korporat utama Asia akibat pandemik COVID-19. Dua lagi bank tersebut ialah CIMB Group Holdings Bhd dan RHB Bank Bhd.

 

Laporan oleh Straits Times Singapura menunjukkan ketiga-tiga bank ini adalah antara beberapa pemiutang utama tidak bercagar Genting Hong Kong, dengan pendedahan gabungan sebanyak AS$600 juta (RM2.5 bilion).

 


Baca : Pengerusi Genting Hong Kong letak jawatan

 

 

Dalam laporan Bloomberg hari ini, ia melaporkan Tan Sri Lim Kok Thay meletakkan jawatan sebagai Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Genting Hong Kong Ltd berkuat kuasa 21 Januari lalu.

 

Peletakan jawatan itu dibuat hanya beberapa hari selepas syarikat itu memfailkan penggulungan perniagaannya yang menjadi keruntuhan terbesar sebuah syarikat pengendali kapal persiaran sejak pandemik bermula.

 

Kok Thay memulakan perniagaan feri persiaran dan perjudian atas kapal di Hong Kong pada 1990-an dan menjadikannya salah satu pengendali kapal persiaran terbesar di Asia. 

 

Setakat 3.48 petang ini, saham Maybank susut 7 sen atau 0.85% kepada RM8.21 dengan 4.52 juta saham diniagakan. - DagangNews.com