McDonald's Malaysia diiktiraf Majikan Terbaik Antara Yang Terbaik 2021 | DagangNews Skip to main content

McDonald's Malaysia diiktiraf Majikan Terbaik Antara Yang Terbaik 2021

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Jan - McDonald’s Malaysia menerima dua pengiktirafan apabila meraih Anugerah Majikan Terbaik Antara Yang Terbaik 2021 dan Anugerah Majikan Terbaik 2021 daripada Kincentric baru-baru ini. 

 

Ini merupakan kali pertama restoran makanan segera tersebut diiktiraf sebagai Majikan Terbaik Antara Yang Terbaik, selain menerima Anugerah Majikan Terbaik buat kali ketujuh daripada Kincentric.

 

Pencapaian ini melonjakkan McDonald’s Malaysia sebagai organisasi contoh daripada segi pengurusan sumber manusia dan peningkatan perniagaan berterusan. 

 

Anugerah tersebut adalah mandat kepada komitmen dan usaha berterusan McDonald’s dalam mencungkil bakat-bakat di samping menyediakan latihan bersesuaian dan program pembangunan bakat. 

 

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar berkata, pihak syarikat sentiasa berusaha bagi meningkatkan potensi setiap pekerja untuk berjaya dalam laluan kerjaya dan sumbangan kepada masyarakat.  

 

“Kami tujukan anugerah-anugerah ini khas kepada pekerja-pekerja kami yang telah menjadikan McDonald’s sebagai tempat kerja disenangi dan kebanggaan mereka. Saya bangga dengan dedikasi mereka yang berterusan demi pelanggan McDonald’s dan komuniti, walaupun didepani cabaran oleh kerana pandemik COVID-19. 

 

"Selaras dengan misi syarikat dalam memberikan terbaik untuk komuniti, menjadi tanggungjawab kami bagi memupuk nilai dan persekitaran sesuai bukan sahaja di dalam organisasi tetapi juga di luar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Menurut Azmir, para pekerja sentiasa dihubungkan melalui Employee Value Proposition (EVP) syarikat, yang memberi fokus menjadikan para pekerja sebagai ahli keluarga dan syarikat membantu mereka menuju ke arah kerjaya yang cemerlang. 

 

 

mcd

 

 

Katanya, ini disokong dengan insiatif strategi program pembangunan dan perancangan kerjaya bagi setiap individu agar memberi kepuasan jangka panjang kepada mereka.


      
"Daripada segi latihan dan program pembangunan bakat disediakan pihak syarikat, Program Perantis Vokasional McDonald’s di bawah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran dan Kementerian Sumber Manusia, membantu pembangunan kerjaya lebih bermakna bagi golongan muda melangkaui tugasan di kaunter.  

 

"Program latihan berasaskan industri selama 18 bulan meliputi latihan praktikal sebanyak 70% dan 30% pembelajaran teori.  Peserta program akan ditaja sepenuhnya oleh McDonald’s dan sehingga kini telah melatih 3,500 golongan belia," katanya.

 

Beliau berkata, majoriti golongan belia yang berjaya menjalani latihan itu telah diambil bekerja sebagai kru pelatih McDonald’s dan ada di antara mereka dilantik menjadi ketua kru dan pengurus restoran.  

 

“Program SLDN bertujuan meningkatkan kemahiran dan memberi persediaan kepada belia bagi memenuhi keperluan tenaga kerja negara. Kami berbangga menyediakan asas untuk mereka menimba kemahiran bersesuaian dan latihan bagi peningkatan potensi mereka. 

 

"Fokus kami adalah warga kerja dan mereka adalah tulang belakang syarikat. Tidak mungkin McDonald’s menempa kejayaan tanpa mereka,” katanya. 

 

Tahun lepas, McDonald’s Malaysia melabur lebih RM20 juta bagi inisiatif pembangunan modal insan. 

 

Buat masa ini, syarikat mempunyai lebih 15,000 pekerja di 318 restoran seluruh negara dan merancang untuk mengambil lebih ramai lagi rakyat Malaysia bekerja selaras dengan penambahan cawangan restorannya. - DagangNews.com