Menara Merdeka 118: edotco Malaysia dilantik penyedia rangkaian telekomunikasi | DagangNews Skip to main content

Menara Merdeka 118: edotco Malaysia dilantik penyedia rangkaian telekomunikasi

Menara Merdeka 118

Oleh MUHAMMAD ARIEFF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 15 Feb. - PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad (PMVSB) mengumumkan pelantikan edotco Malaysia sebagai penyedia perkhidmatan rangkaian telekomunikasi bagi menara Merdeka 118 selari dengan keperluan infrastruktur teknologi canggih bangunan tersebut.

 

Pelantikan yang dibuat anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd. (PNB) itu memerlukan edotco Malaysia untuk merancang, menyedia serta menyelenggara solusi rangkaian selular di dalam bangunan 'in-building solutions' (IBS) bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan rangkaian telefon selular yang terbaik dan lancar.

 

Penggunaan teknologi IBS generasi seterusnya adalah bagi memastikan liputan yang lebih menyeluruh dan merangkumi kawasan yang terlindung.

 

Teknologi tersebut juga dapat meluaskan kawasan liputan di tempat-tempat terlindung seperti di dalam lif dan ruang bawah tanah serta parkir kereta untuk mewujudkan pengalaman pengguna yang terbaik.

 

Ketua Pegawai Pelaburan Hartanah PNB, Rick Ramli berkata, usaha tersebut membuktikan perkembangan penting dari segi pembangunan menara Merdeka 118 yang semakin hampir siap.

 

"Buat masa ini, pembinaan telah 70% siap. Kami menantikan fasa seterusnya untuk menara Merdeka 118 dengan pemasangan teknologi infrastruktur telekomunikasi generasi akan datang bagi menyokong keperluan komunikasi masa depan. 

 

"Kami yakin, berdasarkan rekod prestasi, kepakaran teknikal dan penyelesaian inovatif, edotco dapat memenuhi keperluan dinamik penghuni perniagaan dan rekreasi di menara Merdeka 118," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Jangkauan pemasangan peralatan IBS akan melibatkan kesemua kawasan terbuka serta premis di dalam bangunan.

 

Hal ini bagi memenuhi permintaan kapasiti dan memberikan liputan yang menyeluruh di setiap tingkat menara sebagai persiapan untuk penyambungan hiper masa depan.

 

Ketersediaan infrastruktur telekomunikasi inovatif membolehkan pengendali rangkaian selular (MNO) menawarkan liputan berkelajuan tinggi dengan pelaburan minima melalui model plug-and-play. 

 

Perkara itu membolehkan teknologi infrastruktur telekomunikasi yang lebih baharu ditambah secara modular pada masa depan untuk memenuhi permintaan pengguna telefon selular dan peningkatan kapasiti di dalam bangunan tersebut.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Serantau edotco Group dan Pengarah Urusan edotco Malaysia, Wan Zainal Adileen berkata, menara Merdeka 118 merupakan salah satu pencapaian kejuruteraan yang dikagumi dan berbesar hati menerima peluang untuk bekerjasama dengan PNB Merdeka Ventures.

 

"Merdeka 118 melambangkan kemajuan yang melangkaui generasi sekarang dan projek ini sejajar dengan komitmen edotco untuk menyumbang kepada pembangunan negara.

 

"Penglibatan dalam projek mercu tanda ini merupakan tonggak monumental bagi edotco dalam menyokong Malaysia memenuhi aspirasi digital. 

 

"edotco menyahut cabaran dalam menyediakan penyelesaian infrastruktur telekomunikasi yang sesuai dan tepat dan boleh dikongsi yang selangkah lebih maju daripada pesaing kami," jelasnya lagi. 

 

Perkhidmatan edotco merangkumi infrastruktur telekomunikasi untuk pejabat, menara hotel dan pusat membeli-belah di menara Merdeka 118. 

 

Pembangunan seluas tiga juta kaki persegi itu merupakan sebuah bangunan pencakar langit setinggi 635 meter dan akan menjadi bangunan tertinggi di Asia Tenggara. - DagangNews.com