MENCARI INSPIRASI DARI HIKAYAT, KETIKA PKP DIPERKETAT
PENGUMUMAN Perintah Kawalan Pergerakan sama ketat seperti PKP 1.0 pada 28 Mei semalam, mengundang seribu reaksi, ramai yang keluh-kesah dengan impak PKP ke atas ekonomi negara dan keadaan rakyat yang semakin tertekan.
Hingar bingar sana sini mengingatkan kita kepada Hikayat Awang Sulung Merah Muda bahawa :
Yang pekak pembakar meriam
Yang buta penghembus lesong
Yang lumpoh penghalau ayam
Yang pekong penjemoran
Yang kurap pemikul buluh
Cuma dalam hati saya memberi perangsang kepada diri sendiri...
When the going gets tough, the tough gets going. Everybody has a role to play.
Cabaran Kebudayaan Era COVID-19
Tentulah bagi saya, Kebudayaan dan Pendidikan menjadi tumpuan utama yang sangat memerlukan perhatian.
Pertamanya, pada satu hari nanti - pasti sektor pelancongan akan dibuka semula terutamanya setelah kesan vaksinasi mula memberi impak positif.
Jika kita membiarkan aktiviti budaya dan pelancongan terkubur buat masa ini, kita akan ketinggalan apabila pelancongan bergiat semula dan laluan dibuka kembali secara agresif. Pelancong akan mencari destinasi yang memberikan pengalaman yang lebih bermakna...lebih intrinsik...lebih terserlah keaslian dan keunikan.
Kita perlu bersiap sedia mendekatkan Malaysia di hati dan di fikiran pelancong dua tiga tahun dari sekarang mulai hari ini.
Pelancongan adalah satu industri yang membawa keuntungan kepada pelbagai sektor yang berlainan seperti perhotelan, restoran dan pemakanan, pusat membeli-belah, pusat budaya.
Dan jangan lupa sektor penerbangan, kereta api, pemandu teksi, Grab, jurupandu pelancongan serta semua pengusaha kesenian seperti homestay, pembatik, pengukir, ahli seni makyung, mek mulung, tarian kebudayaan, pemboria, dikir, pemuzik tradisional, pemain tradisional wau, gasing…begitu panjang senarainya.
Oleh itu, mari kita pastikan kesenian kita terus mekar dan subur terutamanya di media sosial. Tontonilah persembahan kebudayaan – pihak JKKN mengadakan pelbagai persembahan tradisional yang disiarkan di Youtube mereka.
Klik di sini untuk pautan kepada video YouTube yang memaparkan persembahan seni tradisional Mek Mulung oleh Sekolah Seni Malaysia Perak (SSeMP) yang menjuarai Festival Antarabangsa Seni (Monolit) di Barcelona, Sepanyol pada 2017.
Belilah tiket persembahan maya bagi menyokong kebudayaan. Kerajaan dan badan korporat - hulurkanlah sokongan padu kepada sektor ini terutama yang di luar bandar – mereka inilah yang mempertahankan jiwa dan raga Nusantara kita.
Galakan mesti diberi untuk kelas kebudayaan dalam talian. Lihatlah kelas Masterclass seluruh dunia – Masterclass Masakan Gordon Ramsey, Masterclass Penulisan Margaret Atwood, Masterclass Tarian Usher, Masterclass Catur oleh Garry Kasparov!
Semasa terkurung di rumah, semua ingin mencari aktiviti yang mencabar minda, memberi kelainan. Masterclass ini tepat pada masanya.
Bukankah kita akan bangga jika dapat melihat Masterclass Makyung Rosnan Rahman dan Masterclass Seni Ukir Norhaiza Noordin! Tonton video di sini.
Tentunya kita juga berbangga dengan Masterclass Asyik dan kecopong Hj Tharuwat Ismail Bakti, Masterclass Wayang Kulit Adiguru Che Nasir Yusoff, Masterclass Tenun Limar Prof Norwani Md Nawawi, Masterclass Manuskrip Annabel Gallop dan Masterclass Bahasa Melayu Awang Sariyan serta Masterclass Sastera Muhammad Hj Salleh!
Hala tuju Pendidikan
Keduanya, kita tidak boleh membiarkan generasi pelajar sekarang terumbang-ambing dalam senario ini.
Jika kita tidak memberi perhatian kepada perkembangan mereka, ini bermakna dalam lima hingga tujuh tahun ke hadapan, generasi pelajar ini tidak mempunyai hala-tuju, dan ini secara tidak langsung mungkin meningkatkan kadar pengangguran pada masa itu.
Sejumlah tiga hingga empat juta pelajar sedang di bangku sekolah buat masa ini di pelbagai tahap, ini merupakan 10% daripada populasi kita - kita mesti mencari jalan penyelesaian.
Pastikan SETIAP kanak-kanak mempunyai akses dalam talian melalui kempen derma komputer riba/ waqf/ diskaun korporat atau pengeluaran EPF untuk komputer riba.
Malah bukan saja pendidikan formal memerlukan perhatian, aktiviti ko-kurikulum juga terjejas dengan lebih teruk. Mungkin kita boleh berikan perhatian kepada ko-kurikulum anak-anak demi memenuhi masa dengan berfaedah dan membangunkan jati diri.
Contohnya kita boleh adakan video kurikulum bersama untuk sesi dalam talian:
- Kelas seni – kelas melakar, kelas lukisan, kelas tenunan
- Kelas tarian dalam talian - Zapin, Inang
- Kelas Taridra – Mek Mulung, Makyung dan Jikey
- Kelas pantun
- Kelas muzik - Angklung (instrumen yang boleh dibuat sendiri menggunakan buluh)
- Kelas Animasi!
- Kelas e-Sukan
- Perbahasan Bahasa Melayu
Di samping itu, saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk menyarankan untuk meringankan beban rakyat supaya :
1. MORA diaktifkan semula
2. Food Bank dijalankan bagi mereka yang amat memerlukan
3. Galakan kepada syarikat untuk digitalisasi - karya kreatif
4. Insentif bagi syarikat untuk mendorong Work From Home dan bukannya memberhentikan pekerja sepanjang PKP
5. Insentif untuk Latihan melalui Dana HRDF dipertingkatkan
6. Sekatan import kraf dan tekstil dari negara lain untuk membolehkan industri pondok sendiri untuk berkembang semula - periksa undang-undang di e-dagang
7. Inisiatif Wakaf
Apa pun yang pasti, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah.
Susah senang kita bersama.
Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu. Emel : ninotaziz@gmail.com
BACA KOLEKSI DARI HIKAYAT KITA:
- KEMBAYAT MALIM DEMAN DI HARI RAYA AIDILFITRI
- Hari Raya Dunia Alam Melayu itu INDAH
- KETIKA ULEK MAYANG BERKUMANDANG DI PRIMULA