Skip to main content

Mengapa pelaburan di pasaran kredit Asia satu pilihan bernas ketika COVID-19?

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Okt. - Ketika penularan COVID-19 menyebabkan ketidaktentuan dan ketidakstabilan pasaran saham, mungkin ini petanda untuk para pelabur mula mempertimbangkan pasaran kredit di Asia. 

Sifatnya yang menawarkan hasil tinggi tetapi tempoh masa lebih singkat selain kadar pinjaman tidak dilunaskan yang rendah, menjadikan pasaran itu pilihan bernas untuk pelaburan stabil. 

HSBC Bank Malaysia Berhad (HSBC Malaysia) percaya walaupun ekonomi terjejas akibat COVID-19, tetapi kadar pinjaman tidak dilunaskan yang diramal merangkumi hanya 4% pada tahun ini, kadar terendah di seluruh dunia. 

Ekonomi Asia secara umumnya kurang terdedah dengan sektor yang menerima impak teruk seperti penghasilan gas dan minyak.

Faktor lain termasuklah sokongan tinggi daripada kerajaan serta sebahagian besar bon hasil tinggi Asia terdiri daripada terbitan pemaju hartanah China, dan sebahagian besar daripada 30 penerbit teratas telah mengumpulkan dana untuk memenuhi keperluan pembiayaan jangka pendek mereka.

Dalam bahasa mudah, tekanan pembiayaan semula yang berkurangan menawarkan risiko gagal bayar di pasaran lebih rendah.

 

Jon Chivers
                                                                                                    Jon Chivers

 

“Dalam pada itu, keputusan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) untuk mengekalkan kadar hampir sifar bagi tempoh jangka masa panjang dengan beberapa kali potongan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) merupakan faktor-faktor penting juga,” kata Ketua Harta dan Perbankan Peribadi HSBC Malaysia, Jon Chivers. 

Pelaburan gred sejagat Asia yang merangkumi 80% pasaran kredit terdiri daripada terbitan bon besar, stabil dan sering melibatkan institusi berkaitan kerajaan. 

Bagaimanapun, terdapat kekurangan dalam pasaran bon itu.

Menurut HSBC Malaysia, isu yang sering didepani pasaran itu adalah kecairan (liquidity) iaitu keupayaan untuk membeli dan menjual sekuriti tanpa tawaran pembidaan berlebihan. 

“Bon secara umumnya tidak didagangkan dalam pasaran saham bursa tetapi secara dua hala antara rakan niaga bebas. Jadi, apabila pasaran itu mempunyai ramai pihak yang ingin menjual dengan sedikit sahaja pelabur ingin membeli, ia menjadi sukar untuk memastikan aliran lancar dua hala.

“Ini bermaksud,harga penilaian dapat diturunkan dengan ketara kerana harga penjelasan di pasaran jauh lebih rendah daripada nilai asas sekuriti,” tambah bank berkenaan. - DagangNews.com