Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Apa Kata Media Cina - 23 April 2022

Mengharap syarikat penerbangan berlaku adil

Nanyang Siang Pao, 20 April 2022

 

 

 

MENJELANG sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini pastinya berbeza selepas dua tahun sambutannya hambar berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat penularan COVID-19.

 

Ramai yang teruja untuk balik ke kampung menyambut lebaran dan sudah tentu aliran orang ke Sabah dan Sarawak akan berganda.

 

Namun dalam kegembiraan, sejarah berulang. Harga tambang penerbangan sekali lagi melonjak secara mendadak berikutan peningkatan permintaan.

 

Kenaikan yang paling ketara ialah tiket penerbangan pergi dan balik antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

 

Kenaikan tambang beberapa penerbangan didapati sebanyak 5 kali ganda.

 

Harga tiket penerbangan domestik melambung tinggi berbanding dengan harga tiket penerbangan antarabangsa.

 

Dalam pasaran ekonomi bebas, nilai barangan dan perkhidmatan pastinya akan meningkat berdasarkan kepada permintaan.

 

Harga tiket penerbangan pula bukanlah produk standard dan boleh difahami jika harga diselaraskan mengikut permintaan.

 

Lagipun, tujuan kewujudan syarikat penerbangan adalah untuk mencari wang dan cuti perayaan merupakan peluang terbaik untuk meningkatkan keuntungan mereka.

 

 

apa

 

 

Tetapi bagi rakyat Sabah dan Sarawak, penerbangan pergi balik antara Malaysia Timur dan Semenanjung bukanlah keperluan tetapi adalah satu kemestian.

 

Tiket penerbangan murah pada hari biasa dan bukan hari cuti, mustahil untuk pulang ke kampung halaman berkumpul bersama keluarga.

 

Apabila musim cuti panjang, pasti akan muncul tiket penerbangan yang terlalu mahal! Adakah ini adil kepada rakyat Sabah dan Sarawak? Logikkah syarikat penerbangan meletak harga penerbangan domestik ‘cekik darah’?

 

Lebih menyedihkan juga apabila pihak kerajaan hanya akan menunggu apabila harga penerbangan naik melampau dan rakyat mula mengkritik, barulah bertindak untuk berunding dengan syarikat penerbangan.

 

Apakah tiada jalan penyelesaian yang lebih baik kerana isu ini sentiasa berulang? Walaupun setiap kali nampaknya syarikat penerbangan akan berkompromi dan melancarkan tambang murah, tetapi jika dilihat pada jarak penerbangan, kita sebagai pengguna tetap akan membeli tiket yang mahal.

 

Walaupun syarikat penerbangan mempunyai hak untuk mengaut keuntungan, di pihak kerajaan juga mempunyai tanggungjawab untuk melindungi kepentingan rakyat. 

 

Selain penggubalan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan, kerajaan juga harus menyediakan mekanisme harga siling tiket penerbangan.

 

Harga siling boleh diselaraskan mengikut kos operasi yang dikemukakan oleh syarikat penerbangan, cara ini dapat melindungi hak dan kepentingan pengguna tanpa menjejaskan industri penerbangan awam.

 

 

apa

 

 

Presiden Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong), Tan Sri Goh Tian Chuan mencadangkan kaedah ‘kawalan harga perayaan’ untuk penerbangan domestik, bagi mengelakkan tambang yang berlebihan dan menambahkan lagi beban rakyat.

 

Langkah ini amat penting kerana penerbangan adalah perkhidmatan logistik yang penting bagi warga Sabah dan Sarawak, ia perlu dipertimbangkan dan diberi keutamaan. 

 

Bagi syarikat penerbangan pula, mereka harus menyediakan lebih banyak perkhidmatan penerbangan agar semua orang boleh merasai penerbangan yang adil.

 

Meskipun kos operasi akan meningkat, tetapi masih boleh meraih keuntungan yang sepatutnya dengan menaikkan sedikit harga tiket penerbangan.

 

Keuntungan yang kecil tetapi perolehan cepat sentiasa menjadi kekuatan syarikat penerbangan tambang rendah.

 

Tetapi apabila tiba musim perayaan, ada kalanya tiket penerbangan mereka jauh lebih mahal daripada syarikat penerbangan biasa.

 

Tiket penerbangan bukanlah benda yang murah, malah syarikat penerbangan tambang murah juga adalah mustahil untuk menjual tiket pada harga yang terlalu rendah.

 

 

apa

 

 

Apa yang rakyat inginkan adalah melancarkan harga tiket yang berpatutan atas dasar kemanusiaan, bukannya langsung tidak mengaut keuntungan.

 

Baru-baru ini Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak dalam perancangan untuk menubuhkan sebuah syarikat penerbangan kecil.

 

Tujuannya untuk membantu penjanaan ekonomi negeri dan untuk memenuhi permintaan warga tempatan.

 

Ramai yang tidak sabar menunggu rancangan ini direalisasikan, moga harga tiket penerbangannya juga mesra rakyat! - DagangNews.com

 

 

Artikel-artikel ini disiarkan di dalam akhbar Nanyang Siang Pao 20 April 2022 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

Portfolio Tags