Skip to main content
DagangNews.com
Kolum WAINUIOMATA - 28 April 2022

Mengimbas suasana eid terakhir di UAE

 

 

SUASANA Hari Raya atau eid di UAE tentunya tidak sama dengan suasana di tanah air. Kelainan membawa pengalaman dan mencerna minda yang menambah kemanisan dalam kehidupan.

 

Setelah hampir dua dekad di UAE sehingga 2018, saya lebih suka suasana raya di UAE yang lebih santai, ringkas dan kurang pembaziran sama ada persiapan makanan mahupun pakaian untuk digayakan.

 

Perasaan nostalgia pada masa lalu serta kerinduan untuk bersama keluarga serta sahabat handai memang tidak pernah lekang. Tetapi kehidupan perlu diteruskan.

 

Kekurangan dan kelebihan tidak menghalang perasaan kesyukuran kerana terus dapat menyambut hari raya selepas sebulan berpuasa.

 

Sememangnya ramai yang tidak pulang beraya kerana anak-anak masih dalam persekolahan dan ada yang menghadapi peperiksaan.

 

Musim panas yang selalu membahang sekitar 40 darjah ke atas tidak menghalang untuk berhari raya seadanya.

 

Seperti mana negara-negara Arab lain, solat raya bermula sebaik fajar menyingsing. Musolla raya di padang terbuka menjadi pilihan kerana itulah sunnah.

 

fudzail

 

Tahun terakhir itu sebelum terkena strok, saya dan isteri memilih untuk bersolat raya di masjid universiti Al Qasimia, sebuah universiti bawah Emir Sharjah yang percuma untuk pelajar dari seluruh dunia.

 

Mulanya mahu bertemu pelajar-pelajar dari negara China seperti tahun lalu, terperanjat apabila sekumpulan pelajar menegur dalam bahasa Melayu, "Dari Malaysia?"

 

Rupa-rupanya sekumpulan pelajar Melayu dari Patani, Thailand yang kelihatan teruja bertemu saya. Ada 45 orang pelajar lelaki dan 30 orang pelajar perempuan dari Patani dan Bangkok. Mereka baru di tahun pertama pengajian bahasa Arab.

 

Seronok bertemu dengan anak-anak muda yang sama seronok bercerita mengenai kehidupan di UAE.Untuk mereka yang berminat untuk melanjutkan pengajian di Universiti Al Qasimia, boleh mendapatkan informasi di laman web.

 

Saya belum bertemu pelajar dari Malaysia. Mungkin ramai yang tidak mengetahui mengenai peluang menyambung pengajian secara percuma di UAE.

 

Lebih seratus pelajar dari negara China yang saya temui dan mereka datang dari pelbagai daerah di negara China. Selain dari banyak negara lain.

 

Selepas solat raya, tumpuan adalah majlis solat rakyat Malaysia anjuran pihak konsulat dan agensi kerajaan lain di Dubai. Majlis yang bermula jam 8 pagi ke 11 pagi itu diadakan di foyer bangunan yang terletaknya pejabat Matrade.
 

 

fudzail
Rakaman video boleh diikuti di https://youtu.be/6eGVBbBMVnA - Gambar oleh Nik Fajrul Anwar

 

 

Buat mereka yang sudah solat raya, kehadiran di majlis adalah untuk bertemu warga Malaysia yang lain serta menjamah selera juadah yang disediakan.

 

Memang ramai yang memenuhi foyer. Begitu meriah sekali. Ramai juga yang saya tidak kenali kerana ramai yang baru datang.

 

Apabila sudah ramai, tentunya ada berkumpulan dengan rakan-rakan yang sudah dikenali. Untuk kami yang sudah lama di UAE, memang selesa sesama sendiri kerana boleh dikatakan, mereka yang baru datang tidaklah semesra. Mungkin kerana jurang usia atau sikap tidak peduli kerana sudah mewah di UAE.

 

Ramai juga pegawai agensi kerajaan yang baru dan diharapkan mereka mengikut jejak TYT Duta dan TYT Konsul Jeneral yang sentiasa ramah, mesra dan tidak pernah berlagak dengan kedudukan diplomat mereka.

 

TYT Duta  dan TYT Konsul Jeneral telah dipanggil semula oleh Kementerian Luar (Wisma Putra) kerana gagal menyelaraskan urusan pentadbiran dan logistik semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke UAE akhir bulan lepas.

 

Menurut kenyataan Wisma Putra pada Isnin, kegagalan itu menyebabkan perdana menteri terpaksa menunggu lama di balai ketibaan untuk pasport dan pelepasan Imigresen oleh Imigresen Dubai.

 

Selain itu, tiada perlindungan keselamatan dan permotoran yang sepatutnya disediakan untuk perdana menteri seperti prosedur operasi standard biasa.

 

fudzail

 

Begitupun pada masa itu, kedua TYT Duta di Abu Dhabi dan TYT Konsul di Dubai dan diplomatik staf lain memberi kerjasama dengan kami warga Malaysia sebaiknya. Kami sebagai rakyat Malaysia yang mencari rezeki di UAE memang tidak mahu menyusahkan pihak kedutaan dan konsulat.

 

Ada juga komplen mengenai beberapa wakil agensi kerajaan yang tidak mesra, tidak ramah dan tidak mahu bercampur dengan warga Malaysia. Dengan kerajaan baharu, kami pada masa itu tetap memantau mereka kerana imej negara yang baik pastinya mesti dikekalkan.

 

Pihak warga Malaysia sejak dua dekad lalu banyak membantu secara sukarela dalam banyak hal. Pernah ada persatuan yang menganjurkan pelbagai aktiviti bersama. Semua itu adalah untuk merapatkan perhubungan antara warga Malaysia yang hanya dalam 6,000 orang sahaja.

 

Begitupun, yang aktif tidak ramai dan majoriti memilih untuk tidak peduli. Selalunya, kalau ada apa-apa aktiviti hanyalah muka-muka yang sama. Persatuan telah lama terkubur tanpa sambutan. Mungkin kerana perbezaan politik sama merenggangkan hubungan.

 

Kerana itu majlis Raya di Matrade dua tahun sekali menjadi penting kerana bukan mudah mengumpulkan warga Malaysia dalam satu masa dan satu tempat secara sukarela.

 

Dari suasana kemeriahan raya kita dapat juga menilai sejauh mana rakyat Malaysia boleh bekerjasama secara sukarela. Dengan era baru  diharapkan ada perubahan di kalangan warga Malaysia sama ada pihak wakil kerajaan mahupun warga ekspatriat untuk lebih rapat, mesra dan saling bekerjasama.

 

fudzail

 

Dalam perbualan raya, tidak lekang mengenai pilihanraya dan kemenangan bersejarah yang hanya sebulan lalu. Hampir semua menyambut kemenangan rakyat dengan kegembiraan.

 

Selepas majlis Raya di Matrade, ada banyak juga rumah terbuka diadakan oleh warga Malaysia. Seperti biasa, kunjung mengunjungi menjadi budaya yang baik. Dari rumah ke rumah sehingga malam dan hari kedua, di rumah TYT Konsul.

 

Manakala majoriti warga ekspatriat lain di UAE hanya menyambut Aidilfitri biasa-biasa sahaja. Selepas solat raya, mereka balik ke rumah atau keluar bersiaran. Warga Emirati hanya bersama keluarga.

 

Bagi mereka, kemeriahan adalah sebulan Ramadan untuk beribadah dan mencari keredhaan Ilahi. Sebab itu saya dan isteri cukup selesa berpuasa di sini kerana merasakan lebih seronok. Tumpuan pada ibadah puasa dan sunat lain terasa lebih aman.

 

Tiada lagu raya, promosi jualan raya, berebut-rebut menayang baju raya (sedondon atau tidak), makanan raya dan persiapan rumah raya serta kesesakan jalan raya untuk kemas kini di Facebook.

 

fudzail

 

Sudah menjadi budaya warga Malaysia yang bukan sahaja sebulan berpuasa, tetapi juga sebulan berhari raya sehingga ada yang terlajak ke raya haji. Seakan tidak cukup membazir masa, wang dan tenaga tanpa ada kemajuan untuk persaingan global.

 

Itulah yang menjadikan warga Malaysia walau di mana pun berada, sentiasa meriah menyambut hari raya dan berbangga dengan budaya yang semakin mengelirukan!

 
 
Mohd Fudzail Mohd Nor telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com

 

 

KLIK DI SINI UNTUK HIMPUNAN KOLEKSI TULISAN WAINUIOMATA

Portfolio Tags