Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN cadang wujudkan sijil vaksinasi digital | DagangNews Skip to main content

Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN cadang wujudkan sijil vaksinasi digital

MOHAMED AZMIN ALI pada Pemukiman AEM ke-27 yang berlangsung secara maya bermula semalam hingga hari ini. Gambar MITI

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Mac - Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) mencadangkan untuk mewujudkan sijil vaksinasi digital supaya sempadan negara masing-masing dapat dibuka semula untuk merancakkan kembali sektor terjejas terutamanya pelancongan.

 

Perkara itu dibawa ke peringkat rundingan Pemukiman AEM ke-27, yang dicadangkan oleh Brunei selaku Pengerusi ASEAN 2021, menurut Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

 

Namun, jelasnya tiada tempoh masa yang ditetapkan bagi mewujudkan cadangan berkenaan selain perkara itu kemudiannya akan dibawa ke tahap perbincangan Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN. 

 

“Ia (sijil vaksinasi digital) pasti akan memudahkan perjalanan masyarakat perniagaan dan juga memulihkan semula sektor perlancongan, tetapi kita juga mengambil maklum tentang beberapa cabaran semasa kerana vaksin yang digunakan oleh negara-negara anggota ASEAN berbeza-beza.

 

“Jadi, kita melihat bagaimana boleh mengiktiraf secara kolektif terhadap produk vaksin yang dikeluarkan oleh pengeluar. Kalau kita (negara anggota ASEAN) bersetuju, maka sudah tentu ini dapat dicapai.

 

“Kita mengambil maklum bahawa tahap keberkesanan bagi setiap vaksin juga berbeza, ini juga menjadi kebimbangan dalam kalangan negara-negara anggota. Namun, perkara ini dimaklumkan kepada Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN yang akan mengadakan perbincangan, sudah tentu cadangan yang dibuat akan diambil kira,” katanya dalam sidang akhbar selepas Pemukiman AEM ke-27 secara maya bermula 2 hingga 3 Mac 2021. 

 

Pemukiman AEM yang turut melibatkan sembilan Menteri Ekonomi ASEAN lain telah berunding secara produktif dalam mengemudi agenda integrasi ekonomi serantau yang semakin signifikan berikutan keadaan ekonomi tidak menentu disebabkan pandemik COVID-19. 

 

Dalam kenyataan media berhubung pemukiman berkenaan, MITI berkata, AEM telah berikrar untuk bekerja secara intensif dalam meneroka semua cara bagi mengukuhkan dan meluaskan integrasi serantau dalam pelbagai bidang kepentingan bersama. 

 

Ini dibantu dengan wujudnya Rangka Kerja Pemulihan Komprehensif ASEAN (ACRF) dan Pelan Pelaksanaan ACRF sebagai mekanisme pemulihan rantau berkenaan pada era pasca COVID-19, ujar kementerian itu. 

 

AEM turut sedang berusaha untuk memperluaskan senarai barang-barang perlu di bawah Memorandum of Understanding on the Implementation of Non-Tariff Measures on Essential Goods under the Ha Noi Plan of Action on Strengthening ASEAN Economic Cooperation and Supply Chain Connectivity in response to the COVID-19 Pandemic yang telah ditandatangani pada November 2020, katanya.

 

Dalam masa sama, AEM bersepakat dan bersetuju untuk mendalami penglibatan ASEAN di dalam Rangkaian Nilai Global (GVCs) untuk menggalakkan perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN di mana ia akan meningkatkan peluang perniagaan dan pekerjaan, dalam membina kembali ketahanan serantau semasa penyusunan semula global. 

 

Tambah kenyataan itu, Malaysia yakin bahawa ratifikasi Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akan menyumbang terhadap pembentukan GVC secara berkesan dengan 15 anggota yang merangkumi satu pertiga populasi dunia. 

 

Sementara itu, Malaysia sebagai negara penyelaras bagi hubungan ekonomi ASEAN-India, telah menerima penghormatan dalam mengetuai perbincangan di antara negara-negara anggota untuk kajian semula Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India (AITIGA), di mana Kertas Kerja Mengenai Skop 3 Kajian Semula tersebut, telah dihantar kepada India untuk ulasan.

 

Tertakluk kepada hasil skop kajian semula tersebut, MITI berkata, Jawatankuasa Bersama AIFTA akan diaktifkan untuk memulakan proses kajian semula tersebut. - DagangNews.com