Merck anjur Sidang Kemuncak Kawalan Kualiti dan Pemantauan Pematuhan pertama di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Merck anjur Sidang Kemuncak Kawalan Kualiti dan Pemantauan Pematuhan pertama di Malaysia

Ketua Pemasaran Komersial Penyelesaian Sains dan Makmal Singapura dan Malaysia, Angela Chong menyampaikan ucapan ketika Sidang Kemuncak Kawalan Kualiti dan Pemantauan Pematuhan.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 4 Julai - Seramai 300 peserta menyertai Sidang Kemuncak Kawalan Kualiti dan Pemantauan Pematuhan buat pertama kali di Malaysia, anjuran syarikat sains dan teknologi, Merck.

 

Dengan mengadakan seminar dan bengkel selama dua hari, para peserta terdiri daripada pelbagai industri termasuk makanan dan minuman, pertanian, farmaseutikal dan bioteknologi, makmal pengujian, institusi akademik dan agensi kerajaan, industri air dan air sisa serta pengeluar kimia.

 

Sidang kemuncak berkenaan berjaya melengkapan pakar-pakar Kawalan Kualiti (QC) dengan peraturan dan teknik terkini dalam industri serta latihan praktikal bagi meningkatkan kemahiran makmal di samping memberi mereka peluang untuk mengetengahkan cabaran yang mereka hadapi.  

 

Segala peraturan, dasar dan kriteria yang berkaitan QC mengalami perubahan pesat akibat perubahan sentiment pasaran dan keperluan pelanggan. Pakar-pakar QC sering menghadapi cabaran untuk mendapatkan maklumat terkini. 

 

Sehubungan itu, unit Life Science Business di Merck mengambil inisiatif untuk menganjurkan sidang kemuncak pertama untuk merberi peluang kepada agensi kawal selia, pemimpin pasaran dan pakar QC berkumpul untuk berkongsi maklumat dan bersama menangani cabaran bidang mereka. 

 

Sidang kemuncak tersebut menampilkan enam penceramah berwibawa yang menyampaikan pelbagai topik merangkumi akreditasi makmal, penggunaan standard, infografik pasaran dan strategi digitalisasi. 

 

Selain itu, terdapat empat pakar dari Jabatan Standard Malaysia (DOS), Merck Malaysia, dan Institut Kimia Malaysia (IKM) yang menerangkan pengawalseliaan dan akreditasi terkini.

 

 

merck

 

 

Penolong Pengarah Kanan, Seksyen Dasar dan Penyelidikan Bahagian Perancangan Strategik Jabatan Standard Malaysia (DOS), Jessica Sawai Jues menegaskan, kepentingan Infrastruktur Kualiti Kebangsaan (NQI) untuk menjamin kecekapan operasi dalam pasaran domestik serta menawarkan industri berkaitan QC akses kepada pasaran luar negara. 

 

Ketika menjelaskan metrologi kimia untuk pengukuran QC, Ahli Majlis Institut Kimia Malaysia, Li Hui Ling mencadangkan penggunaan piawaian pengukuran Institut Piawaian dan Teknologi Kebangsaan (NIST) di makmal QC, bagi mengukuhkan keyakinan pengguna tempatan dan antarabangsa terhadap produk dan perkhidmatan Malaysia.

 

Merck bertekad meneruskan usaha untuk bekerjasama dan menyokong agensi-agensi pengawalselian kerajaan, institusi dan syarikat perindustrian dalam keseluruhan aspek QC, bagi membantu Malaysia meningkatkan tahap dan proses QC dalam menepati piawaian global. - DagangNews.com