KUALA LUMPUR 17 Jun - Pameran Halal Antarabangsa Malaysia ke-18 (MIHAS 2022) yang akan berlangsung tidak lama lagi bersedia untuk terus merangsang pertumbuhan perdagangan rentas sempadan.
Dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), MIHAS 2022 memanfaatkan alat-alat digital untuk membantu peserta pameran memasarkan produk dan perkhidmatan halal masing-masing kepada para pembeli global.
Acara terulung Matrade ini akan diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur dari 7 hingga 10 September 2022 dan diadakan serentak secara digital di pentas global.
Pameran ini menyusuli kejayaan yang dicapai tahun lepas, yang sekali gus membolehkan Matrade memenangi Anugerah Pertubuhan Penggalakan Perdagangan Dunia (WTPO) di bawah kategori “Penggunaan Teknologi Maklumat Terbaik” atas inisiatifnya menganjurkan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) Ke-17 secara maya pada 2021.
MIHAS adalah satu daripada faktor utama yang menyumbang kepada prestasi positif dagangan luar Malaysia pada 2021, yang mencecah paras rekod RM2.2 trilion. Daripada angka tersebut ini, eksport berjumlah RM1.2 trilion, manakala import mencatatkan nilai RM987 bilion.
Hasilnya ialah lebihan dagangan RM252.6 bilion pada 2021, tahap tertinggi bagi Malaysia. Oleh yang demikian, MIHAS 2022 dijangka terus menjadi pemangkin perdagangan Malaysia tahun ini, dengan meneruskan momentum yang kukuh.
Usaha ini adalah sejajar dengan sasaran Rancangan Malaysia Ke-12, yang mengunjurkan bahawa Industri Halal Malaysia akan menyumbang 8.1% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menjana hasil eksport berjumlah RM56 bilion menjelang 2025, berbanding 6.6% dan RM30.5 bilion masing-masing pada 2020.
Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, minat dan penyertaan yang lebih menggalakkan dalam pasaran halal yang kian berkembang merupakan satu petanda positif yang diharapkan daripada pameran tahun ini.
"Kami teruja untuk menghubungkan jenama-jenama terkenal dan para peserta baharu untuk meneroka potensi besar pasaran halal global. MIHAS 2022, yang bertemakan ‘Diversifying Halal Possibilities’ (Mempelbagaikan Kemungkinan Halal), membuka pintu ke dunia dagangan halal global dan saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menjemput komuniti perniagaan untuk menyertai acara terkemuka ini," katanya.
Untuk terus menambah nilai yang ditawarkan, Anugerah MIHAS kini kembali untuk mengiktiraf kecemerlangan inovatif dan mampan yang ditunjukkan oleh jenama-jenama tempatan dan asing.
Anugerah ini terbuka kepada peserta pameran dan penyertaan diterima dari 1 Jun hingga 1 Ogos 2022 untuk penilaian oleh tokoh-tokoh industri halal.
Eksport Halal Malaysia pada 2021 dipacu terutamanya segmen Makanan dan Minuman (RM17.6 bilion), Ramuan Halal (RM13.5 bilion), Kosmetik dan Penjagaan Peribadi (RM2.4 bilion), Derivatif Minyak Sawit (RM1.7 bilion), Bahan Kimia Perindustrian (RM0.7 bilion) dan Farmaseutikal (RM0.3 bilion). - DagangNews.com