MN Holdings Berhad, M&A Securities meterai perjanjian taja jamin | DagangNews Skip to main content

MN Holdings Berhad, M&A Securities meterai perjanjian taja jamin

Loy Siong Hay (tiga dari kanan) ketika memeterai perjanjian taja jamin bersama M&A Securities
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Jan - MN Holdings Berhad (MNHB) memeterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities Sdn. Bhd. sempena proses tawaran awam permulaan (IPO) syarikat di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities).

 

IPO terdiri daripada terbitan awam sebanyak 81.8 juta saham baharu di dalam MNHB, mewakili 20.0% modal saham diperbesarkan dan tawaran jualan sebanyak 40.9 juta saham sedia ada kepada pelabur terpilih bagi penempatan persendirian.

 

Daripada 81.8 juta saham baharu itu, sebanyak 20.4 juta saham baharu akan ditawarkan kepada rakyat Malaysia menerusi cabutan saham iaitu 8.2 juta saham baharu untuk pengarah dan kakitangan yang layak menerusi borang merah jambu.

 

Sebanyak 51.1 juta saham baharu dikhususkan bagi pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, manakala baki 2.0 juta saham baharu akan ditawarkan kepada pelabur terpilih.

 

Seiring dengan perjanjian taja jamin tersebut, M&A Securities akan menaja sejumlah 28.6 juta saham baharu yang ditawarkan kepada rakyat Malaysia dan borang merah jambu.

 

Pengarah Urusan MNHB, Loy Siong Hay berkata, pemeteraian perjanjian itu akan membawa syarikat selangkah lebih dekat ke arah penyenaraian di Bursa Securities. 

 

Jelasnya, penyenaraian ini membolehkan pihaknya menerokai pasaran modal ekuiti bagi menjana dana menyokong perluasan perniagaan bagi segmen rumusan dan perkhidmatan kejuruteraan utiliti bawah tanah dan substesen. 

 

"Sumber operasi kami bagi melaksanakan kerja-kerja kejuruteraan utiliti dan substesen untuk pelanggan bergantung besar kepada adanya mesin dan peralatan.

 

“Hasil daripada IPO sebahagian besarnya akan diguna bagi membeli pelbagai jenis mesin dan peralatan bagi memenuhi keperluan di dalam projek kejuruteraan utiliti dan substesen yang pelbagai skala dan tahap kerumitan.

 

“Di samping itu, kami percaya bahawa pembelian mesin dan peralatan ini kelak akan membolehkan kami meluaskan sumber-sumber kami dan keupayaan projek di dalam melaksanakan projek yang tahap kerumitan dan berskala besar," katanya dalam satu kenyataan.

 

Sebahagian hasil IPO itu akan digunakan bagi membayar balik pinjaman bank, modal kerja am dan membayar anggaran perbelanjaan proses penyenaraian.

 

MNHB dijadual disenaraikan di Papan ACE Bursa Securities pada April 2022.

 

M&A Securities merupakan penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi proses IPO tersebut. - DagangNews.com