Moody's beri penarafan (P)A3 ke atas 'samurai shelf registration' Maybank | DagangNews Skip to main content

Moody's beri penarafan (P)A3 ke atas 'samurai shelf registration' Maybank

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

KUALA LUMPUR 27 Jan -   Moody's Investors Service telah memberikan penarafan mata wang asing  tidak bercagar senior  (P)A3 kepada 'samurai shelf registration'  Malayan Banking Bhd (Maybank). 

 

Moody’s berkata, penarafan tidak bercagar senior jangka panjang A3 Maybank adalah berdasarkan Penilaian Kredit Asas (BCA) a3nya.

 

“Penarafan itu tidak mendapat manfaat daripada sebarang peningkatan sokongan kerajaan, memandangkan BCA bank itu sudah berada pada tahap yang sama dengan penarafan Kerajaan Malaysia (A3 stabil),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.  

 

Tambahnya, BCA a3 Maybank mengambil kira risiko terhadap kualiti asetnya berikutan kesan ekonomi pandemik COVID-19 dalam pasaran operasi utamanya. 

 

“Modal bank yang kukuh dan kekuatan tradisional pendanaan serta kecairan mantap  yang disokong oleh francais dominannya di Malaysia akan mengimbangi tekanan,” katanya. 

 

Ia berkata penarafan shelf registration itu diletakkan pada tahap yang sama dengan penarafan hutang tidak bercagar senior Maybank sedia ada iaitu A3. 

 

“Pendaftaran shelf registration itu difailkan di bawah proses shelf registration Jepun pada Jun 2020. 

 

“Jumlah keseluruhan sekuriti baharu yang boleh diterbitkan di bawah shelf registratian itu ialah JPY500 bilion,” tambahnya.

 

Moody’s berkata penarafan ke atas shelf registration itu adalah sejajar dengan penarafan deposit mata wang asing Maybank, yang berada pada tahap yang sama dengan penarafan kedaulatan A3 Malaysia. 

 

"Memandangkan tinjauan stabil pada penarafan kedaulatan, peningkatan penarafan jangka panjang Maybank tidak mungkin berlaku dalam 12-18 bulan akan datang," katanya. 

 

Ia menambah, penilaian jangka panjang Maybank dan penarafan terhadap shelf registration boleh diturunkan taraf sekiranya profil kredit kendiri bank merosot secara ketara. 

 

Setakat 30 September 2021, Maybank melaporkan jumlah aset sebanyak RM879 bilion.-DagangNews.com