Moratorium dilanjut 3 bulan bagi individu, PKS yang masih terjejas | DagangNews Skip to main content

Moratorium dilanjut 3 bulan bagi individu, PKS yang masih terjejas

KUALA LUMPUR 29 Julai - Tempoh penangguhan pinjaman atau moratorium dilanjutkan selama tiga bulan sehingga Disember 2020 bagi individu yang masih hilang punca pendapatan atau perusahaan yang menghadapi krisis kewangan.

Keputusan itu diambil selepas pihak kerajaan berbincang dengan Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM). 

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagi pekerja yang masih terjejas, mereka boleh memohon untuk pengurangan bayaran ansuran pinjaman bulanan selaras dengan pengurangan gaji, tetapi bergantung kepada jenis pinjaman. 

“Lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar fokus kepada golongan benar-benar memerlukan. Bagi individu yang hilang pekerjaan pada tahun 2020, masih belum dapat pekerjaan akan menerima moratorium untuk tempoh tiga bulan, boleh dilanjutkan bergantung kepada situasi semasa individu.

“Bagi yang bekerja tetapi gaji terjejas, bayaran ansuran bulanan akan dikurangkan, selaras kekurangan gaji, bergantung pada jenis pinjaman. Sebagai contoh, bayaran perumahan dan peribadi akan dikurangkan pada kadar yang sama dengan pengurangan gaji, bagi tempoh enam bulan,” kata beliau dalam perutusan khas 'Pengumuman Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar' secara dalam talian, hari ini. 

Tambah Muhyiddin, bantuan bank bersasar juga diberikan kepada individu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas antaranya, mereka dibenarkan untuk membayar faedah pinjaman terlebih dahulu bagi tempoh yang ditetapkan bank. 

“Kedua, memanjangkan tempoh keseluruhan pinjaman bagi mengurangkan bayaran balik pinjaman atau diberikan pelepasan lain sehingga peminjam mencapai kedudukan kewangan stabil. 

“Bagi pinjaman sewa beli pun, pihak bank akan bagi penjadualan semula dan penstrukturan (R&R), tertakluk kepada Akta Sewa Beli. Kesemua peminjam boleh membuat permohonan bermula 7 Ogos depan untuk mendapatkan manfaat ini,” jelas beliau. 

Lanjutan tempoh moratorium berkenaan dijangka dapat memanfaatkan tiga juta individu dan PKS yang masih berdepan dengan krisis kewangan. 

Tambah Muhyiddin, langkah yang diambil itu diharap dapat mengurangkan beban mereka yang terjejas akibat COVID-19 dan keputusan diambil institusi perbankan dapat menyokong kemampanan usaha perniagaan dan membantu memulihkan ekonomi negara.

“Kerajaan berusaha untuk memulihkan semula ekonomi negara, saya cuma nak berpesan jaga kesihatan, jaga diri baik, virus COVID-19 masih ada di luar sana,”katanya. - DagangNews.com