MPC optimis lebih banyak syarikat pembinaan mohon eSPO | DagangNews Skip to main content

MPC optimis lebih banyak syarikat pembinaan mohon eSPO

 

 

KUALA LUMPUR 22 April - Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menjangkakan lebih banyak syarikat pembinaan yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) akan diperakui sebagai organisasi kemakmuran bersama melalui Sijil Perakuan e-Shared Prosperity Organisation (eSPO).

 

Ini berikutan keputusan bahawa syarikat yang diperakukan dengan Sijil Perakuan eSPO dapat meraih 5 mata untuk Program Pembangunan Kontraktor Secara Berterusan (CCD). 

 

CCD bertujuan meningkatkan pengetahuan, kemahiran, dan kompetensi yang berkaitan di kalangan kontraktor. Mata CCD yang terkumpul adalah penting untuk tujuan memperbaharui lesen CIDB.

 

Sijil Perakuan eSPO di bawah kelolaan MPC, merupakan sistem dalam talian yang memperakui organisasi yang melaksanakan Sistem Upah Berkaitan Produktiviti (PLWS) sebagai organisasi kemakmuran bersama. 

 

Sijil ini diiktiraf oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Kementerian Sumber Manusia.

 

CIDB turut mengiktiraf Sijil Perakuan eSPO dan menyarankan supaya syarikat pembinaan memohon untuk mendapatkan sijil ini.

 

Sejak Sijil Perakuan eSPO dilancarkan pada Disember 2020 sehingga Februari 2021, sebanyak 37 syarikat pembinaan telah diperakui sebagai organisasi kemakmuran bersama. 

 

Jumlah penyertaan telah meningkat kepada 300 syarikat pada April 2021 berikutan keputusan CIDB memberi 5 mata CCD untuk syarikat yang menerima Sijil Perakuan eSPO. 

 

MPC optimis bahawa lebih banyak syarikat pembinaan akan memohon untuk Sijil Perakuan ini pada masa hadapan. Ia dijangka memberi manfaat kepada lebih 120,000 syarikat pembinaan yang berdaftar dengan CIDB.

 

Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, pengiktirafan sebagai organisasi kemakmuran bersama melalui Sijil Perakuan eSPO memberi nilai tambah kepada syarikat-syarikat pembinaan. 

 

Katanya, dengan pengiktirafan daripada CIDB yang memberikan 5 mata CCD untuk syarikat yang diperakui, MPC percaya lebih banyak syarikat pembinaan akan diperakukan pada masa hadapan. 

 

"Ini secara tidak langsung meletakkan syarikat kontraktor sebagai majikan dan rakan niaga pilihan kerana melaksanakan prinsip penciptaan kekayaan bersama.

 

“Setiap pihak, majikan dan pekerja mempunyai peranan penting dalam memastikan kelangsungan industri pembinaan. 

 

"Persekitaran kerja yang sihat dan produktif dapat dicapai apabila pekerja mendapat ganjaran yang sewajarnya berdasarkan prestasi kerja dan sumbangan kepada syarikat. Ini adalah elemen organisasi kemakmuran bersama," katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

 

Syarat kelayakan untuk mendapatkan Sijil Perakuan eSPO adalah berdasarkan 3 kriteria iaitu bonus, produktiviti dan prestasi serta kemahiran. - DagangNews.com