KUALA LUMPUR 2 Jun – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) memperkukuh kerjasama dengan FGV Holdings Bhd. bagi membolehkan kedua–dua pihak melaksanakan program peningkatan produktiviti di peringkat sektor perladangan FGV.
Kerjasama yang terjalin sejak 2019 itu akan berterusan sehingga 2024 dengan matlamat melahirkan tenaga kerja mampan yang inovatif, berkemahiran, dan berpengetahuan di sektor perladangan.
Ia dijangka mewujudkan pekerja contoh dengan pemikiran baharu dan tingkah laku yang menyokong transformasi holistik sektor perladangan negara selain turut dapat membina suasana kerja yang positif agar perniagaan dapat beroperasi dengan lancar.
Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, kerjasama pintar antara MPC dan FGV akan melahirkan bakat yang cekap, mewujudkan persekitaran perniagaan yang menyokong perkembangan industri perladangan dan pertanian negara.
Katanya, pakar produktiviti yang dihasilkan melalui program peningkatan produktiviti itu berjaya menjalankan projek perundingan di kilang sawit FGV dan menganjak pemikiran pekerja ke arah pengurusan yang efisien dan efektif.
"Kerjasama ini memberi kesan limpahan yang besar kepada FGV, kilang-kilang, ladang-ladang dan keseluruhan rantaian nilai bagi pengeluaran hasil, peningkatan produktiviti dan ekonomi dalam sektor perladangan dan juga negara. Sasarannya adalah untuk menggandakan pertumbuhan produktiviti organisasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Melalui kerjasama itu, 4 teras utama pelaksanaan aktiviti telah dikenalpasti dan selama 36 bulan sejak kerjasama berkenaan dimeterai, 3 daripada 4 skop pelaksanaan aktiviti dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Buktinya, 8 model perladangan contoh sektor perladangan FGV telah dianugerahkan Pensijilan QE/5S dengan 5 daripadanya telah menerima pensijilan tertinggi 3 bintang daripada MPC selain menerima pengiktirafan lain di peringkat nasional.
Sementara itu, Pengarah Sektor Perladangan Kumpulan FGV, Mohd Sarian Md Sahid berkata, FGV sentiasa peka dan komited untuk meningkatkan produktiviti serta kelestarian masa depan syarikat.
Melalui kerjasama itu, katanya, pekerja sektor perladangan FGV akan dilatih untuk menjadi kreatif dan inovatif yang mampu menyumbang kepada peningkatan produktiviti syarikat.
“Berdasarkan keberkesanan kerjasama yang dicapai mulai 2019, FGV dan MPC menyambung tempoh memorandum kerjasama (MoC) untuk 3 tahun lagi, dengan penambahan inisiatif tambahan selari dengan perkembangan dan keperluan semasa,” jelasnya.
Program berkenaan turut meraikan 22 peserta FGV yang menerima pensijilan sebagai Productivity Champion selepas menamatkan program pembangunan kapasiti secara maya bagi meningkatkan kompetensi dalam pengurusan produktiviti.
Sebanyak 22 pakar yang dilatih itu telah melaksanakan program penambahbaikan yang merangkumi operasi di ladang sawit, kilang sawit, kilang getah dan Delima Oil Products di bawah Program-Program Transformasi yang diilham dan diterajui oleh Bahagian Kecemerlangan Operasi Sektor Perladangan FGV. - DagangNews.com