MSM akan menanam pokok bakau sepanjang pesisir kilang MSM Prai dan membantu menambahbaik lanskap persekitaran setempat.
KUALA LUMPUR 13 Okt. - MSM Malaysia Holdings Bhd. melalui anak syarikat milik penuhnya, MSM Prai Bhd. menandatangani Sijil Jalinan Kerjasama bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang bagi pelancaran inisiatif hijau dalam memelihara dan memulihara alam sekitar.
Perjanjian tersebut yang ditandatangani sempena Hari Alam Sekitar Negara 2021 diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad manakala JAS Pulau Pinang diwakili Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab.
MSM telah memulakan inisiatif tersebut dengan melibatkan kerjasama strategik antara JAS Pulau Pinang dan Persatuan Kebajikan Nelayan-Nelayan Pulau Pinang (PIFWA) melalui pelancaran program penanaman pokok bakau yang turut diadakan hari ini.
Melalui program ini, sebanyak 700 anak pokok bakau akan ditanam sepanjang pesisir kilang MSM Prai serta membantu menambahbaik lanskap persekitaran setempat.
Syed Feizal berkata, operasi penapisan gula di MSM Prai terletak berdekatan pinggiran sungai di mana air daripada sungai tersebut digunakan untuk proses penyejukan.
Katanya, jaringan akar pokok bakau yang padat dan tumbuh-tumbuhan sekitar memainkan peranan sebagai penghadang semula jadi bagi memerangkap dan menapis enapan, logam berat dan lain-lain
bentuk pencemaran daripada memasuki pam suntikan air di kilang tersebut yang mana ia adalah keperluan dalam mengekalkan kualiti air.
"Pada masa sama, pokok-pokok bakau ini turut mengurangkan pembentukan buih di saluran keluar kilang. Bagaimananpun, pembentukan buih-buih tersebut adalah tidak berbahaya.
“Pemantauan yang kukuh terhadap kadar pertumbuhan dan kesihatan pokok-pokok bakau yang ditanam akan dilaksanakan bagi memastikan nilai yang lebih mampan serta kemajuan jangka masa panjang dalam program ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kerjasama strategik ini adalah sebahagian daripada program kelestarian MSM sebagai asas kepada rangka kerja Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Keseimbangan di antara operasi perniagaan dan pemeliharaan alam sekitar akan menjamin kehidupan sosioekonomi yang lebih mampan serta kelangsungan yang lebih baik bagi masa hadapan komuniti berdekatan.
Melangkah ke hadapan, beliau berkata, amalan dan penanda aras ESG MSM akan menerapkan pendekatan
yang holistik melibatkan pelaburan dalam teknologi hijau, penyingkiran sisa, penjimatan tenaga, pengurangan jejak karbon, kesejahteraan dan penjagaan sosial.
Di samping itu, katanya, ia turut memperkasa tadbir urus ke arah memastikan pencapaian prestasi kewangan dan korporat yang lebih baik. - DagangNews.com